Tumpuan :
Sukan

SUKAN SEA : Malaysia tambah dua emas acara silat tanding wanita

PHNOM PENH : Skuad pencak silat negara menambah dua kilauan emas hari ini selepas kejayaan dua pesilat wanita mengungguli kategori masing-masing.

Norsyakirah Muksin paling awal turun ke gelanggang bagi saingan kategori bawah 45kg wanita menentang pesilat Indonesia, Suci Wulandari.

Agak ketinggalan di awal pertarungan termasuk mengalami sedikit kecederaan pada pusingan kedua, kebangkitan mula dilakukan Norsyakirah memasuki pusingan ketiga.

Jatuhan yang dilakukannya pada baki 10 saat terakhir menyaksikan Norsyakirah mengutip tambahan 3 mata menyaksikan dia sah bergelar pemenang selepas menundukkan Suci dengan kemenangan 36-33, sekaligus menghadiahkan pingat emas buat kontinjen Malaysia.

– FOTO : NSTP

Selepas Norsyakirah, giliran Nor Farah Mazlan pula turut beraksi menentang pesilat Singapura, Nadhrah Sahrin bagi saingan kategori 45-50kg wanita.

Penguasaan penuh disajikan Farah pada ketiga-tiga pusingan selepas mata demi mata dikutipnya untuk menjarakkan diri.

Nadhrah pula jelas berdepan kesukaran untuk terus memberikan cabaran dengan Farah akhirnya mengesahkan kemenangan menerusi keputusan 23-16.

Kejayaan menambah 2 emas hari ini menyaksikan skuad pencak silat kini sudah meraih tiga pingat emas selepas penguasaai Muhd Danial Azray dan Muhd Danial Azrol dalam acara Double Silat Seni Ahad lalu.

Loading...
Terkini