Tumpuan :
Sukan

SUKAN SEA: Malaysia laung amaran awal pertahan pingat emas hoki dewan lelaki

FOTO: MHC

Oleh Saiyed Ismail Saiyed Hussin

PHNOM PENH: Pasukan hoki dewan lelaki negara terus menggerunkan pencabar lain dan membuktikan kemampuan sebagai calon juara biarpun baharu sahaja memulakan perlawanan pertama.

Skuad bimbingan Mohd Hanip Che Halim itu seakan-akan mempamerkan kekuatan maksimum semasa membelasah Kemboja 10-1 di Dinosaur Park Hall, Chroy Changvar.

Pemain negara menjaringkan tiga gol pada suku pertama sebelum hanya menambah kelebihan di suku ketiga permainan.

Empat jaringan dilakukan pada babak tersebut disusuli tiga lagi gol dalam 10 minit terakhir termasuk satu gol diraih Kemboja.

Faridzul Afiq Mohd mencatat hatrik sementara Abdul Khaliq Hamirin menyumbang dua gol.

Danial Asyraf Abdul Ghani, Muhamad Izham Azhar, Muhammad Firdaus Omar, Syed Mohamad Syafiq Syed Cholan dan Mohd Norhafizie Jamil Azomi masing-masing menghasilkan satu jaringan.

“Alhamdulillah di perlawanan pertama hari ini kita berjaya memperolehi tiga mata penuh dan saya amat berpuas hati dengan persembahan pemain. Tapi walaubagaimanapun masih terdapat kekurangan yang perlu di perbetulkan kerana kami melepaskan sebiji gol,” kata Mohd Hanip selepas perlawanan.

Anak buahnya dilihat mempunyai kekuatan seimbang dari segi taktikal penyudahan gerakan padang dan pukulan sudut penalti apabila kedua-duanya menterjemah lima gol.

Turut menjadi cabaran di Phnom Penh ialah keadaan cuaca panas yang sedang diadaptasi para pemain meskipun beraksi dalam dewan.

Malaysia dijadual menentang Filipina dalam perlawanan seterusnya esok sebelum Singapura, Thailand dan Indonesia menanti pada hari-hari berikutnya.

Dua pasukan teratas akan layak ke pertarungan penentuan pingat emas hari Ahad, 7 Mei nanti.

Loading...
Terkini