PHNOM PENH: Hanya 34 pingat emas berjaya dirangkul kontinjen Malaysia pada temasya Sukan Sea kali ini.
Ia agak jauh dari sasaran awal 40 pingat emas yang dibuat bersama Kementerian Belia dan Sukan, KBS, Majlis Olimpik Malaysia, MOM dan juga Majlis Sukan Negara, MSN.
Ketua kontinjen negara ke Sukan SEA Kemboja 2023, Datuk Mohd Nasir Ali memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia atas kegagalan kontinjen negara mencapai sasaran 40 pingat emas.
Mohd Nasir menjelaskan barisan atlet negara yang dipertaruhkan di Kemboja sudah berusaha sehabis baik untuk memberikan keputusan positif buat Malaysia.
Bagaimanapun, beliau berkata pihaknya terpaksa akur apabila hanya berjaya membawa pulang 34 pingat emas, 45 perak dan 96 gangsa dari temasya edisi ke-32 itu.
“Saya dengan rendah hati ingin memohon maaf sasaran 40 pingat emas tidak dapat dicapai.
“Apapun 34 pingat emas yang diraih itu adalah pingat yang berkualiti dan saya yakin (pungutan) 34 pingat ini akan dapat dikembangkan untuk masa akan datang,” katanya.
Pencapaian yang diraih kontinjen negara di Kemboja dianggap sebagai pencapaian terburuk Malaysia di pentas Sukan SEA dan pungutan emas paling rendah dalam tempoh 20 tahun sejak 2003 di Hanoi, Vietnam.
Malah, Malaysia juga menamatkan saingan di kedudukan ketujuh buat kali pertama selepas menghuni tangga keenam di Hanoi tahun lalu.
Selain itu, Mohd Nasir menegaskan bahawa sasaran awal untuk membawa pulang 40 pingat emas dari Kemboja bukan dibuat secara melulu.
Sebaliknya, beliau berkata ia dibuat selepas mengambil kira semua faktor termasuk mendapatkan pandangan dan mengadakan pertemuan bersama persatuan sukan yang terbabit.
“Banyak pihak yang berpandangan ini adalah pencapaian terburuk dan sebagainya, itu pandangan mereka. Namun sasaran yang kita buat itu bukan dalam tempoh yang singkat.
“Kita adakan mesyuarat dan jumpa persatuan. Jadi sasaran yang kita buat itu memang realistik berdasarkan beberapa faktor,” katanya.