PHNOM PENH : Skuad bola sepak wanita kebangsaan memulakan temasya Sukan SEA Kemboja 2023 dengan langkah kiri apabila tewas 0-3 kepada Vietnam pada aksi pertama kumpulan A.
Beraksi di Stadium Army, pasukan bimbingan Soleen Al-Zoubi ketinggalan seawal minit keempat menerusi jaringan Hai Yen Pham.
Hasrat Malayan Tigress untuk mengimbangi semula permainan bagaimanapun nampak semakin sukar apabila Thi Bich Thuy Nguyen menggandakan jaringan, minit ke-23 sebelum Huynh Nhu menjadikan kedudukan 3-0, minit 34.
Kekal 0-3 sehingga tamat separuh masa, Vietnam terus mengekalkan penguasaan sebaik bersambung babak kedua.
Malayan Tigress melakukan pertukaran pemain bagi menguatkan bahagian tengah, namun langkah itu tidak memberi impak seperti yang diharapkan.
Tiada tambahan gol menyusul, skuad bola sepak wanita kebangsaan selepas ini akan berdepan Filipina pada aksi kedua kumpulan A di Stadium Army, Sabtu ini.