PHNOM PENH: Kontinjen Malaysia terlepas peluang merangkul emas ketiga dari larian berhalangan, pagi tadi.
Ia menyaksikan pasukan negara terpaksa berpuas hati dengan pingat perak acara lari berganti-ganti berpasukan lelaki di Pusat Konvensyen Chroy Changvar.
Malaysia dibarisi quartet Ghalib Azimi, Mohd Redha Roslan, Nuur Afiz Said Alwi dan Yoong Wei Theng membuat 25.15 saat.
“Terima kasih kepada rakan sepasukan, kami telah bekerja keras dengan korbankan waktu berpuasa bersama keluarga apabila berlatih selama tiga minggu di Manila kemudian datang kira-kira seminggu awal ke sini, raya pun ala kadar saja.
“Untuk larian hari ini saya gembira kerana kita telah berikan segalanya, tetapi tetap ada sedikit masalah, namun ia tetap ok, mungkin pada Sukan SEA lain, kita akan perbaiki prestasi untuk dapatkan emas,” katanya ketika ditemui media Malaysia selepas aksi final di sini.
Mengulas lanjut, Mohd Redha berkata pasukan mengharapkan sokongan daripada pihak luar untuk menyediakan set berhalangan pertandingan yang lengkap bagi tujuan latihan supaya mampu meningkatkan prestasi pada masa hadapan.
“Setakat ini kita kekurangan kemudahan latihan, kita hanya berlatih di gim di mana 60 per cent simulasi sama macam di sini. Jadi kita harapkan ada mana-mana pihak ataupun KBS (Kementerian Belia dan Sukan) sendiri bantu sediakan set berhalangan yang sama macam mana Filipina ada,” kata atlet berusia 35 tahun itu.
Emas dimenangi wakil Filipina yang membuat 24.47 saat.
Pingat gangsa dikongsi Indonesia dan Laos.