Tumpuan :
Sukan

SUKAN SEA : Skuad lelaki mara ke penentuan emas

FOTO : MSN / Facebook

PHNOM PENH : Skuad lari berhalangan lelaki negara berjaya menempah tiket ke penentuan pingat emas selepas mengungguli saingan di Heat kedua mengatasi Laos.

Malaysia dibarisi Ghalib Mohd Azmi, Mohd Redha Rozlan, Nuur Hafis Said Alwi dan Yoong Wei Theng berjaya melakar catatan terpantas 25.624 saat untuk mara ke peringkat akhir.

Pasukan lari berhalangan lelaki negara – FOTO : MSN / Facebook

Redha atau lebih dikenali sebagai Mat Redho berkata, rakan sepasukan mampu mengekalkan fokus mereka pada larian terakhir yang menjadi ‘misi hidup mati’ mereka.

“Kami berjaya mencatat 25.62s… kami sasarkan untuk mendapatkan catatan lebih baik daripada catatan terbaik peribadi kami iaitu sekitar 24.4s tetapi kami hanya memperoleh satu larian saja selepas larian pertama mengalami masalah,” kata Redha.

“Sebenarnya sesi pertama bukan satu masalah besar, kami harus mengakui kesilapan kami di bahagian teknikal… saya memberitahu rakan pasukan yang ia OK… kami mempunyai satu peluang dan kami perlu melakukan yang terbaik.

Redha berkata, fokus utama kini adalah meraih pingat emas dan catatan peribadi terbaik mereka 24s meletakkan mereka untuk menjadi lebih positif.

“Kami tidak tahu apakah catatan terbaik peribadi Filipina tetapi saya fikir 24s adalah masa yang baik untuk kami memenangi pingat emas. Sekarang ini, kami hanya mahu menang pingat emas,” kata Redha.

“Filipina memiliki set lapangan berhalangan ini dan ia digunakan di Sukan SEA kali ini, sudah pasti mereka mempunyai kelebihan. Kami tidak mempunyai set ini di Malaysia dan kami berlatih berdasarkan simulasi saja.”

“Latihan kami hampir 60-70 peratus dengan lapangan ini dan kami berlatih tiga minggu di Filipina ketika bulan puasa, jadi saya tidak fikir ia satu halangan besar buat kami.”

“Filipina adalah nama besar dalam sukan ini dan kami sebenarnya menjangkakan untuk bertemu Indonesia di final.”

Sementara Loas sekadar mencatat 29.251 saat untuk menghuni tangga ketiga.

Penentuan pingat emas dijadual berlangsung ahad nanti bakal menemukan Malaysia dan juga Filipina.

Filipina mara selepas menguasai perlumbaan satu menerusi catatan 25.857 saat.

– FOTO: MSN / Facebook

Dan ia sekaligus bakal menyajikan persaingan sengit antara kedua-dua pasukan dalam misi merebut pingat emas acara berpasukan lelaki.

Sementara itu, dalam saingan berpasukan wanita, Malaysia dibarisi Ong Sher Lyn, Renee Tan Sui Lin, Wan Athirah Hidayah Ahmad Fuzli dan Yip Hui Teng akan beraksi dalam penentuan pingat gangsa selepas menamatkan perlumbaan kedua di kedudukan ketiga menerusi catatan 48.245 saat.

Mereka dijadualkan bertemu pasukan tuan rumah, Kemboja juga dijadualkan berlangsung Ahad nanti.

Loading...
Terkini