comscore
Tumpuan :
Sukan

Sukan SEA Kemboja melabuhkan tirainya, upacara penutup meriah

FOTO: AP

PHNOM PENH: Temasya Sukan SEA ke-32 secara rasminya menutup tirai sebaik obor dipadamkan pada upacara penutup yang berlangsung cukup meriah dengan dihadiri puluhan ribu penonton di Stadium Morodok Techo, sebentar tadi.

Majlis penutupan itu dimulakan dengan ucapan daripada wakil penganjur Sukan SEA Kemboja, kemudiannya disusuli nyanyian lagu kebangsaan tuan rumah.

Kemeriahan majlis penutupan itu semakin dirasai menerusi persembahan nyanyian dan tarian bertemakan ‘See You Again’ sebelum pertunjukan cahaya dan bunga api menakjubkan.

Sudah pastinya, tidak ketinggalan pihak penganjur akan menyelitkan pertunjukan wajib setiap kali berlangsungnya acara besar iaitu membabitkan seni bela diri tradisional Kun Bokator.

Selepas perarakan masuk maskot, pengadil dan kira-kira 5,000 sukarelawan, penonton dipersembahkan dengan tayangan video memaparkan sorotan aksi Sukan SEA dari 29 April sehingga semalam, walaupun temasya dwitahunan itu secara rasminya bermula pada 5 Mei.

Perdana Menteri Kemboja, Hun Sen diberikan penghormatan untuk mengisytiharkan penutupan secara rasminya temasya itu.

Obor kejohanan kemudiannya dipadamkan dan bendera Persekutuan Sukan Asia Tenggara (SEAGF) dan Sukan SEA Ke-32 diturunkan, sebelum diserahkan kepada tuan rumah Sukan SEA Ke-33 iaitu Thailand.

Ini diikuti dengan persembahan kebudayaan daripada wakil Thailand membabitkan simbol budaya, jiwa dan identiti masyarakat negara Gajah Putih itu.

Thailand akan menjadi tuan rumah Sukan SEA buat kali ketujuh dari 9 hingga 20 November 2025 dengan kemungkinan 43 jenis sukan akan dipertandingkan kelak.

Sebagai rekod, Malaysia mengakhiri saingan di tempat ketujuh menerusi pungutan 34 pingat emas, 45 perak dan 97 gangsa.

Edisi kali ini menyaksikan Vietnam muncul juara keseluruhan dengan membawa pulang 136 emas, 105 perak dan 114 gangsa.

Namun, paling mengejutkan adalah tuan rumah mencatatkan prestasi terbaik sepanjang tempoh penyertaan mereka di temasya berkenaan apabila mengakhiri saingan di tempat keempat menerusi 81 emas, 74 perak dan 127 gangsa.

Loading...
Terkini