KUALA LUMPUR: Penampilan skuad bola sepak lelaki menentang Thailand dalam saingan peringkat kumpulan esok pastinya paling menjadi tumpuan utama peminat di tanah air.
Apatah lagi Malaysia dijangka akan berdepan cabaran hebat bertemu skuad Gajah Perang itu di mana antara pasukan pilihan untuk menjuarai acara ibu segala pingat dalam temasya Sukan SEA.
Kedua-duanya sudah merakam sekali kemenangan dalam kumpulan B, menjadikan aksi buku bertemu ruas ini semestinya mendebarkan.
Untuk rekod, Thailand adalah pasukan terbanyak menjuarai acara bola sepak Sukan SEA, namun bagi pertembungan petang esok, kelebihan di atas kertas lebih condong kepada skuad negara.
Ia berdasarkan prestasi terkini yang dinilai daripada lima pertembungan terakhir kedua-dua pasukan yang memihak Malaysia.
Sejarah telah membuktikan perseteruan Malaysia dan Thailand begitu panjang dengan kedua-dua pasukan sudah bertemu sejak sukan SEAP mula dianjurkan buat kali pertama pada 1959.
64 tahun sudah berlalu, malaysia dan thailand bertembung sebanyak 23 kali di temasya dwi tahunan ini dengan skuad kebangsaan menang lapan perlawanan, kalah tujuh dan selebihnya seri lapan kali.
Rekod Pertembungan Malaysia – Thailand dalam Sukan SEA
Sukan Sea 2009 – Malaysia 2-1 Thailand (M)
Sukan Sea 2011 – Malaysia 2-1 Thailand (M)
Sukan Sea 2015 – Malaysia 0-1 Thailand (K)
Sukan Sea 2017 – Malaysia 0-1 Thailand (K)
Sukan Sea 2021 – Malaysia 2-1 Thailand (M)
Namun ukuran sebenar prestasi semasa kedua-dua pasukan lebih relevan untuk dinilai dalam lima pertemuan terakhir.
Daripada lima pertemuan ini sejak tahun 2009, Malaysia tampil lebih dominan apabila memenangi 3 perlawanan ke atas Thailand.
Kesemua kemenangan Malaysia terhasil menerusi jaringan tipis 2-1 dan tewas dengan margin kecil 0-1.
Rekod pertemuan ini juga jelas membuktikan pertembungan dua pasukan jiran ini sentiasa menjanjikan aksi yang sengit dan penuh mendebarkan buat peminat bolasepak di rantau Asia Tenggara ini.
Untuk rekod, Thailand merupakan pasukan terbanyak memenangi pingat emas acara bola sepak sebanyak 16 kali, manakala Malaysia muncul pasukan kedua terbanyak dengan 6 pingat emas.
Pertembungan Malaysia menentang Thailand akan berlangsung di Stadium Prince, Phnom Penh jam 5 petang esok.
Ia merupakan perlawanan kedua buat Malaysia dan Thailand dalam aksi Kumpulan B.