PHNOM PENH: Detik yang penuh emosi berlaku di NagaWorld 2 apabila skuad Mobile Legends Bang Bang, MLBB lelaki negara berjaya menempah tiket ke penentuan pingat emas selepas menumpaskan pasukan tuan rumah, Kemboja di peringkat separuh akhir.
Pertarungan tiga game yang berlaku antara kedua-dua pasukan berlangsung dengan cukup-cukup mendebarkan dengan kedua-dua pasukan saling berbalas serangan.
Game pertama, disebalik penguasaan awal Malaysia yang membariskan Danial Fuad, Idreen Abdul Jamal, Irwandy Lim, Zul Hisham Mohd Noor dan Nazhan Mohd Nor terpaksa melepaskan kemenangan kepada Kemboja.
Permainan kemas ‘marksman’ Kemboja, Khoun Amey yang menggunakan hero ‘claude’ menambahkan kesukaran Malaysia untuk bertahan sebelum lawan menutup aksi dalam tempoh yang menghampiri 17 minit.
Bersambung game kedua, penguasaan awal pula disajikan Kemboja dengan Malaysia ditekan hampir lebih 10 minit.
Namun, kawalan yang dilakukan rakan sepasukan yang memberi ruang kepada Danial atau cikugais untuk membuat “farming” mula membuahkan hasil.
Ketika Kemboja cuba untuk membuat serangan ke arah kem Malaysia, gerakan Idreen atau momo yang menggunakan hero ‘joy’ dari arah belakang berjaya memerangkan pemain-pemain Kemboja.
Cuba menyelamatkan diri, namun, pemain-pemain Malaysia terus memburu sehingga memasuki kem pihak lawan.
Selepas membuat ‘wipeout’ dengan menjatuhkan semua pemain lawan, Malaysia lega menamatkan aksi kedua dengan kemenangan, mengheret permainan ke game penentuan.
Game ketiga, Malaysia memilih hero yang boleh menekan di peringkat awal permainan dan strategi itu nyata menjadi dengan Kemboja terus tertekan se0anjang perlawanan.
Kehadiran ‘lord’ kali kedua ke kubu Kemboja menyaksikan serangan terus dilancarkan Malaysia dengan kristal menjadi fokus.
Dan Malaysia akhirnya mengesahkan kemenangan 2-1, paling utama turut meraih tiket ke penentuan pingat emas yang dijadualkan berlangsung esok.
“Kami mempunyai pemain yang ramai berpengalaman beraksi di peringkat antarabangsa berbanding Kemboja, kami tidak bimbang dengan Kemnoja kerana kamivtahu bagaimana untuk membalas strategi yang mereka lakukan,” kata Zul Hisham atau Xorn pada sidang media pasukan.
“Apa yang saya belajar, kita kena ada banyak ‘versatile’ gameplay dan kita kena banyak disiplin, kalau dulu kita main kejar ‘kills’, sekarang kita main kejar objektif game sebab objektif akan bagi kita menang, apa yang kita terapkan kepada pasukan, kita main untuk kejar objektif, bukan main kejar ‘kills’,” kata cikugais pula.
Malaysia kini menanti pemenang antara Myanmar dan Filipina yang akan beraksi selepas ini.
“Untuk saya, kedua-dua pasukan Filipina dan Myanmar agak kuat, tetapi, pendapat peribadi saya, Myanmar nampak semakin hebat kerana mereka memiliki corak permainan tersendiri, mereka punya pemilihan hero sangat mengejutkan, pendapat saya Sukan Sea kali ini Myanmar lagi kuat,” kata Khairul Azman Mohd Sharif, ketua jurulatih pasukan Malaysia.
Kejayaan mara ke perlawanan akhir kali ini turut memperbaiki pencapaian pingat gangsa yang diraih Malaysia pada temasya Sukan Sea Filipina pada 2019.