PHNOM PENH: Acara terjun akhirnya melabuhkan tirai pada hari keempat dengan pingat terakhir menerusi Platform 10 meter (m) lelaki dimenangi atlet kelahiran Sarawak Enrique Maccartney Harold.
Penerjun berusia 18 tahun itu menaiki podium emas menerusi catatan 442.95 mata diiringi rakan sepasukan Bertrand Rhodict Lises yang memenangi 384 mata.
Beliau yang membuat penampilan sulung di temasya dwi-tahunan itu memastikan kontinjen Malaysia sekali lagi menyapu bersih kesemua empat emas yang dipertandingkan mengulangi pencapaian di Hanoi tahun lalu yang menawarkan lapan acara.
Kejayaan di Enrique Pusat Akuatik Kompleks Sukan Stadium Nasional Morodok Techo itu membakar semangatnya untuk cuba membawa pulang sesuatu dalam saingan utama seterusnya pada tahun 2023.
“Peringkat selepas ini saya mahu cuba dapatkan pingat di Kejuaraan Dunia. Disitu dan Sukan Asia saya menyertai dua acara, iaitu seirama dan individu 10m. Disitu akan buat terbaik untuk sasaran seterusnya,” jawab Enrique
Banyak acara dikurangkan dalam terjun kali ini namun mujur tahap yang dimiliki atlet negara masih belum dapat ditandingi negara-negara serantau.
Muhammad Syafiq Puteh dan Gabriel Gilbert Daim meraih posisi 1-2 dalam acara papan anjal 3m lelaki, sementara Kimberly Bong memenangi emas diikuti Ong Ker Ying meraih gangsa kategori wanita dengan Lee Yiat Qing dikalungkan emas platform 10m wanita.