PHNOM PENH : Pasukan hoki wanita memastikan Malaysia membolot kedua-dua emas terakhir hoki di Kompleks Sukan Stadium Nasional Morodok Techo.
Ini selepas skuad wanita tidak berdepan masalah untuk menewaskan Thailand dengan keputusan penuh 4-1.
Anak buah Nasihin Nubli Ibrahim itu bagaimanapun dikejutkan dengan gol pembukaan lawan, menerusi gerakan padang Natthakarn Aunjai, minit keempat.
Namun Malaysia berjaya mendapatkan rentak selepas Siti Nur Arfah Mohd Nor menjaringkan gol penyamaan, hasil pukulan sudut penalti, dua minit berselang.
Penalti diambil Nuraini Abdul Rashid kemudian membawa pasukan negara mendahului untuk kedudukan semasa2-1, pada minit ke-18.
Di babak kedua, Malaysia terus melebarkan penguasaan kepada3-1, kali ini menerusi pukulan sudut penalti disempurnakan Nurmaizatul Hanim Syafi Hhiek Fuad, minit ke-29.
Nur Afiqah Syahzani menyumbang gol terakhir Malaysian Tigress, juga hasil pukulan sudut penalti minit ke-41 untuk keputusan penuh 4-1.
Kemenangan ini menyaksikan pasukan hoki wanita negara pertahankan rekod lapan pingat emas berturut-turut sejak edisi 1997 hingga 2017.
Pada dua edisi terdahulu, sukan hoki tidak dipertandingkan di Filipina 2019 dan Vietnam 2021.
“Untuk Sukan SEA kali ini, saya boleh simpulkan bahawa ia satu kejayaan yang baik untuk pasukan dan kami tidak pernah bermain dengan keadaan cuaca panas dan mencabar seperti ini serta keadaan padang baru yang tidak sesuai dengan strategi pasukan,” jelas Nasihin.
Beliau turut menambah barisannya merupakan projek jangka masa panjang, sekaligus menjadi platform permulaan untuk pasukan terus melangkah lebih jauh kerana masih dalam proses membentuk satu pasukan terbaik di Asia.