Oleh Al Shaiful Nazib Talib
KUALA LUMPUR: Insiden pergaduhan dan kekecohan yang berlaku pada perlawanan akhir bola sepak Sukan Sea di Stadium Nasional Olimpik di Phnom Penh semalam dilabel sebagai insiden yang cukup memalukan.
Lebih-lebih lagi ia turut membabitkan pegawai pasukan, menyaksikan sebanyak 6 kad merah dilayangkan pengadil perlawanan akhir antara Thailand dan Indonesia semalam.
FA Thailand menerusi kenyataan yang dibuat menerusi laman sosial ‘twitter’ menyatakan kekecewaan dan permohonan maaf berikutan insiden yang memalukan itu.
Pegawai-pegawai pasukan turut dipersalahkan kerana bertindak mengikut emosi memandangkan mereka seharusnya tenang menghadapi situasi itu.
Satu jawatankuasa khas turut diwujudkan FA Thailand untuk menyiasat secara menyeluruh dan tindakan tegas akan dikenakan kepada individu terbabit jika di dapati bersalah.
FA Thailand juga tidak akan melindungi individu yang telah melakukan kesalahan dan permohonan maaf sekali lagi diutarakan kepada semua yang terlibat.
Pada perlawanan semalam, Thailand berjaya bangkit dari ketinggalan untuk mengheret permainan ke set penentuan.
Namun, sebelum gol kedua Thailand, pasukan Indonesia bertindak meraikan kemenangan, menjangkan tiupan wisel pengadil menandakan perlawanan berakhir, sebaliknya ia adalah untuk sepakan percuma.
Dan provokasi pegawai pasukan menyaksikan pergaduhan mula tercetus di luar gelanggang.
Kembali tenang, namun sebaik Indonesia menjaringkan gol ketiga, keadaan luar gelanggang mula kecoh kembali dengan pergaduhan tercetus antara kedua-dua pasukan.
Kali ini turut membabitkan pemain-pemain yang sedang beraksi, memaksa pengadil melayangkan kad merah.
Empat pemain diarah keluar padang dengan Thailand turut berdepan kesukaran terpaksa beraksi dengan 7 pemain sahaja.
Sebaliknya Indonesia ceria bergelar pemenang, menang dengan keputusan 5-2, menamatkan 33 tahun untuk merangkul pingat emas.