PHNOM PENH: Kem badminton negara berpeluang untuk menambah koleksi pingat di temasya Sukan SEA Kemboja apabila tiga wakil sudah mengesahkan tempat di pusingan separuh akhir, sebentar tadi.
Sudah pastinya tumpuan diberikan kepada dua pemain perseorangan lelaki negara Lee Shun Yang dan Leong Jun Hao yang tidak berdepan masalah menundukkan lawan masing-masing di peringkat suku akhir yang berlangsung di Dewan Badminton Kompleks Sukan Morodok Techo.
Kebangkitan dramatik dipamerkan Shun Yang apabila bangkit menewaskan wakil Thailand, Panitchapon Teeraratsakul menerusi keputusan 18-21, 21-19, 21-17, manakala Jun Hao mudah mengatasi pemain Filipina, Jewel Angelo Albo dengan keputusan 21-22, 21-10.
Namun, lawan mereka diseparuh akhir bukan mudah, kerana perlu berhadapan Indonesia yang diletakkan sebagai pilihan utama memenangi acara perseorangan individu lelaki.
Cabaran getir buat Shun Yang kerana dijadualkan bertemu pilihan pertama kejohanan Chico Aura Dwi Wardoyo, sementara Jun Hao membuat perhitungan bersama Christian Adinata.
Mengikut rekod, ini peluang perseorangan negara untuk mencipta kejutan dengan membawa pingat emas untuk negara memandangkan pada edisi lalu di Hanoi terkandas di pusingan suku akhir.
Sementara itu, turut mengesahkan slot di separuh akhir adalah beregu campuran negara Yap Roy King-Cheng Su Yin selepas mereka menumpaskan wakil tuan rumah Vannthou Vath-Kimloung Lim 21-5,21-3 hanya dalam tempoh 16 minit saja.
Roy King-Su Yin bakal menentang wakil dari Thailand Pakkapon Teeraratsakul-Phataimas Muenwong selepas beregu itu menumpaskan pasangan dari Filipina Alvin Morada-Alyssa Ysabel Leonardo 21-11, 21-14 di peringkat suku akhir.
Tidak ketinggalan, kedua-dua wakil beregu wanita, Lee Xin Jie-Low Yeen Yuan serta Cheng Su Hui-Cheng Su Yin meneruskan kemaraan ke peringkat separuh akhir.
Xin Jie-Yeen Yuan bekerja keras sebelum menewaskan wakil Thailand, Chasinee Korepap-Pitchamon Opatniputh dengan keputusan 13-21, 21-19, 21-19, manakala pasangan adik beradik kembar, Su Hui-Su Yin pula mudah mengatasi gandingan Singapura, Heng Xiao En-Elsa Lai Yi Ting menerusi keputusan 21-12, 21-11.