Tumpuan :
Sukan

SUKAN SEA : Atlet Aquathlon negara kurang menyinar

– FOTO REUTERS

PHNOM PENH : Empat wakil aquathlon negara bagi Sukan SEA 2023 gagal menyinar apabila pulang hampa tanpa sebarang pingat dalam acara disertai masing-masing di Kep Town Beach, hampir 200 kilometer (km) dari sini, hari ini.

Acara individu wanita yang berlangsung terlebih dahulu awal pagi tadi menyaksikan Ng Wen May menamatkan renangan di tempat kelima dengan catatan masa 17 minit dan 51 saat (s) manakala Teo Sze Hui pula di tempat ke-11 (19:07s) daripada keseluruhan 14 peserta.

Atlet tuan rumah, Margot Morokot Garabedian mencipta sensasi dengan merangkul emas (16:09s) bagi mengecewakan pencabar terdekatnya dari Thailand, Aisik Kaewyongkod (17:15s) yang meraih perak diikuti gangsa oleh wakil Indonesia, Dea Salsabila Putri (17:33s).

Bagi saingan lelaki, Teo Zun Jet juga menampilkan prestasi hambar apabila menamatkan cabaran di tempat ketujuh dengan catatan masa 16:31s dan seorang lagi wakil negara, Brendon Wong Kai Xuen pula di tempat ke-12 (18.02s).

Peserta Indonesia, Rashif Amila Yaqin merekodkan 14:28s untuk muncul juara, diikuti wakil Filipina Andrew Kim Abay Remolino (15:07s) bagi pingat perak dan Bryce Sheng Sher Chong dari Singapura terpaksa berpuas hati dengan gangsa (15:39s).

— BERNAMA

Loading...
Terkini