ISKANDAR PUTERI: Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail berkenan menjadikan Johor sebagai tuan rumah bagi acara sukan bola sepak sempena Sukan SEA 2027.
Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri Johor, Mohd Hairi Mad Shah berkata, titah perkenan baginda disampaikan semasa sesi mengadap pada Khamis lalu.
Namun begitu, katanya lokasi stadium yang akan digunakan bagi acara itu masih pada peringkat perbincangan.
“Pemangku Sultan Johor perkenan Johor menjadi tuan rumah acara bola sepak pada Sukan SEA 2027.
“InsyaAllah atas perkenan Pemangku Sultan Johor, saya menjunjung titah dan menjunjung kasih atas kepercayaan ini. Saya dan pasukan akan menghantar permohonan rasmi kepada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) agar acara bola sepak dipertandingkan di Johor pada Sukan SEA 2027.
“Bagaimanapun berkaitan lokasi dan perincian kos, ianya akan ditetapkan selepas Mesyuarat di peringkat Sukan Negeri Johor (MSN) dan pihak Sekteriat Sukan SEA 2027,” katanya pada sidang akhbar di luar persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di Kota Iskandar, di sini, hari ini.
Sebelum ini, Mohd Hairi memaklumkan pihaknya mencadangkan beberapa stadium sebagai lokasi acara sukan berkenaan termasuklah di Stadium Sultan Ibrahim (SSI).
Beliau dilaporkan berkata, empat lokasi yang dikenal pasti termasuklah SSI; Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin; Stadium Bola Sepak Mount Austin dan Stadium Majlis Bandaraya Pasir Gudang.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.