Tumpuan :
Sukan

Sukan SEA 2023: MOM Pertikai Pencapaian Sukan Olahraga, Renang

KUALA LUMPUR: Majlis Olimpik Malaysia (MOM) menjangkakan kontinjen negara bakal kehilangan 12 pingat emas, 9 perak dan 24 pingat gangsa pada temasya Sukan SEA 2023 di Kemboja nanti.

Ia selepas keputusan tuan rumah untuk menyenaraikan sebanyak 37 jenis sukan membabitkan 608 acara saja dengan beberapa acara utama Malaysia tidak berada dalam radar Kemboja.

Antara yang terkesan termasuklah sukan terjun yang dikurangkan acaranya selain gimnastik artistik dan begitu juga sukan menembak yang menghadiahkan emas kepada kontinjen negara pada temasya 2021 di Hanoi, Vietnam.

Dalam pada itu, presiden MOM, Tan Sri Mohd Norza Zakaria turut memaklumkan dua jenis sukan iaitu olahraga dan renang antara yang mengecewakan, menjadi punca kontinjen negara menamatkan temasya di kedudukan keenam.

“Perkara sama akan berlaku jika kita tidak memperbaikinya, pada Sukan SEA Kemboja, sebanyak 39 emas ditawarkan untuk sukan renang, olahraga, 47 emas, berpandukan pingat emas kita di Hanoi, kita ada satu emas dalam sukan renang, ada 5 emas dalam sukan olahraga yang mana semuanya menerusi acara padang, saya rasa dua persatuan ini harus membuat sesuatu untuk memastikan kita akan ada peningkatan, jika tidak, mereka perlu memberikan penjelasan, apakah pelan mereka untuk masa akan datang.”

“Secara realistik, saya akan katanya ada peluang buat sukan olahraga untuk meningkatkan kutipan pingat kita, tetapi pada ketika ini saya belum dapat melihat perkara ini dapat direalisasikan, sama juga dengan renang, persatuan perlu menyediakan pelan tindakan untuk kita boleh membuat persiapan bagi temasya Sukan SEA seterusnya,” katanya.

Temasya Sukan SEA 2023 di Kemboja akan berlangsung bermula 6 hingga 16 Mei 2023, juga merupakan penganjuran sulung Kemboja sejak temasya diperkenalkan pada 1959.

Loading...
Terkini