AL KHOR: Piala Dunia Qatar 2022 bermula secara rasmi dengan upacara perasmian menggabungkan konsep tradisional, moden dan sejarah kejohanan itu di Stadium Al Bayt, Al Khor sebentar tadi.
Selain upacara perasmian stadium berkenaan turut dipenuhi penyokong tuan rumah dan Ecuador yang tidak sabar menyaksikan perlawanan pembukaan membabitkan kedua-dua negara dalam Kumpulan A.
Legenda bola sepak Perancis, Marcel Desailly tampil di hadapan ribuan penonton yang hadir dengan menjulang trofi Piala Dunia sekali gus mendapat sorakan gemuruh.
Selepas itu kiraan detik 30 saat menjadi simbolik bermulanya upacara perasmian yang menampilkan pertunjukan kebudayaan negara berkenaan sambil diselang-seli dengan persembahan cahaya lampu menarik.
Selepas beberapa persembahan tarian lampu yang indah, lagu rasmi Piala Dunia, ‘Dreamers’ diperdengarkan oleh penyanyi BTS, Jung Kook bersama penyanyi Qatar, Fahad Al Kubaisi.
Bintang Hollywood, Morgan Freeman turut tampil dengan memberikan mesej harapan, perpaduan dan toleransi dalam majlis perasmian Piala Dunia 2022.
Sementara itu Emir Qatar, Sheikh Tamim bin Hamad al-Thani berkata dalam ucapannya, bahawa Piala Dunia mengumpulkan rakyat semua bangsa dan kepercayaan.
“Dari Qatar, dari dunia Arab, saya mengalu-alukan semua orang ke Piala Dunia 2022.
“Alangkah indahnya jika semua orang dapat mengetepikan perbezaan yang memisahkan untuk meraikan kepelbagaian,” katanya.
Turut hadir ialah Presiden Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (Fifa), Gianni Infantino. -HARIAN METRO