PHNOM PENH: Kontinjen negara terus menuai emas Sukan Para ASEAN (APG) dari kolam renang di Kompleks Sukan Stadium Nasional Morodok Techo menyaksikan empat lagi dikutip atlet Malaysia.
Paling cemerlang, Abd Halim Mohammad yang dua kali menaiki podium juara masing-masing dalam acara 100 meter (m) kuak dada dan 100 m gaya bebas SB8 lelaki.
Halim mencatat kepantasan 1 minit 19.33 saat (s) menewaskan atlet Indonesia dan Vietnam dalam acara kuak dada sebelum mengulangi pencapaian juara menerusi 1 minit 04.10 s yang meninggalkan wakil Thailand dan Vietnam di podium.
Perenang wanita, Carmen Lim pula unggul mencatat rekod temasya 1 minit 41.32 s menewaskan atlet Thailand dan Vietnam dalam acara 100 m kuak dada SB8 untuk memenangi emas.
Malaysia memperoleh emas keenamnya apabila Muhammad Imaan Aiman memenangi 50 m kuak lentang S14 lelaki.
Imaan turut meraih kejayaan berganda setelah menghasilkan rekod APG 28.51 s dengan pingat perak menjadi milik rakan senegara Duran Yaspi Imam Basori manakala perenang Indonesia memiliki gangsa.