| Oleh Al Shaiful Nazib Talib
KUALA LUMPUR – Pemilihan atlet bagi temasya Sukan Olimpik Paris 2024 akan diperketatkan lagi menerusi beberapa kriteria pemilihan.
Keputusan dibuat Jawatankuasa Pemantau Program “Gold Patis 2024” yang dipengeuriskan oleh Tan Sri Dr. Norza Zakaria dan turut dianggotai Ketua Pengarah MSN, Datuk Ahmad Shapawi Ismail, Ketua Pegawai Eksekutif Institut Sukan Negara, ISN, Ahmad Faedzal Md Ramli serta bekas jaguh badminton negara, Datuk Wira Lee Chong Wei dengan beberapa ahli lain akan ditambah dan dilantik kelak.
Pada mesyuarat pertama yang diadakan pada 12 Oktober lalu, beberapa kriteria utama pemilihan telah dibincangkan dengan pemilihan atlet dalam program “Gold Paris 2024″ ialah mereka yang pernah memenangi pingat di Sukan Olimpik Tokyo 2020 dan masih berada dalam kelompok ranking 10 terbaik dunia.
Pencapaian atlet yang memenangi pingat pada temasya Sukan Komanwel dan Sukan Asia juga akan diambil kira selain memiliki prestasi terkini yang meyakinkan.
“Jawatankuasa juga akan mengambil pendekatan terbuka dalam
kemungkinan mengenalpasti atlet yang berpengkalan di luar negara
yang mempunyai pertalian keluarga dan asal usul dari Malaysia yang
mempunyai prestasi terkini selaku pesaing di peringkat dunia.
“Kumpulan atlet yang terpilih itu akan disediakan perkhidmatan
sokongan terbaik daripada aspek kejurulatihan, program latihan dan
pendedahan pertandingan peringkat antarabangsa serta pelbagai
perkhidmatan sokongan lainnya termasuklah sokongan sains,
teknologi dan perubatan sukan.
“MSN juga diminta untuk melihat potensi menggunakan kepakaran
teknikal yang dapat mengembelingkan program latihan dan
perkhidmatan sokongan terbaik termasuklah dalam aspek
“performance lifestyle” bagi memastikan setiap atlet yang terpilih
dapat mempamerkan prestasi terbaik dengan semangat juang yang
tinggi ke arah mencapai matlamat yang ditetapkan,” katanya.
Tambah Tan Sri Norza, Bengkel Perancangan Program “Gold Paris 2024” akan dianjurkan pihak MSN pada 24 Oktober nanti bersama-sama wakil persatuan dengan hasil dapatan bengkel akan dibentangkan pada mesyuarat kedua Jawatankuasa Pemantau November nanti.
Untuk rekod, temasya Sukan Olimpik Tokyo 2020 menyaksikan kontinjen negara meraih satu pingat perak menerusi Datuk Azizulhasni Awang dalam acara Keirin Basikal Trek, dan satu pingat gangsa disumbangkan gandingan beregu lelaki Aaron Chia dan Soh Wooi Yik.