Tumpuan :
Sukan

SUKAN OLIMPIK PARIS 2024: Hoki disasar layak, Azeem, Shereen harus dapat tiket merit

Oleh: Al Shaiful Nazib Talib

PETALING JAYA: Majlis Sukan Negara (MSN) meletakkan sasaran seramai 53 atlet akan mengisi kontinjen Malaysia pada temasya Sukan Olimpik Paris 2024.

Ia merangkumi senarai 13 jenis sukan yang berada dalam radar statistik MSN dengan sukan hoki antara yang menjadi sasaran utama untuk kembali ke gelanggang Olimpik selepas tampil kali terakhir 24 tahun lalu pada temasya Sukan Olimpik Sydney 2000.

Dan impian itu tampak cukup realistik menerusi perebutan tiga slot kelayakan yang ditawarkan pada Kejohanan Kelayakan Sukan Olimpik Paris yang akan berlangsung di Muscat, Oman bermula 15 hingga 21 Januari ini.

Skuad hoki kebangsaan

Malaysia diundi dalam kumpulan A bersama Great Britain, Pakistan dan China dengan sasaran awal menamatkan saingan di kedudukan dua teratas untuk ke separuh akhir.

“Sekiranya mereka bermain mengikut perancangan jurulatih tiada masalah untuk mereka masuk ke separuh akhir, dan akhirnya berkemungkinan besar akan bertemu New Zealand untuk merebut slot ketiga, slot pertama dan kedua kita tahulah sukar untuk kita dapat, jadi kita target akan jumpa dengan New Zealand, dan berdasarkan kepada rekod pertemuan kita sebelum ni, nampaknya kita mempunyai peluang yang sama rata dengan New Zealand.

“Dalam sesi perlawanan persahabatan mereka di New Zealand tahun lepas, memang mereka mengalami kekalahan, tetapi kita dah tengok memandangkan kedua-dua pasukan tidak menurunkan barisan terbaik, masing-masing cuba menggunakan pelbagai strategi dan kombinasi untuk pastikan apabila ke Oman nanti, mereka akan bersedia sepenuhnya, dua-dua simpan kuku, di Oman nanti mereka akan keluarkan semua senjata, dan kita harap pasukan Malaysia akan dapat mempamerkan prestasi terbaik mereka dan boleh merebut slot ketiga tersebut.

Jefri Ngadirin

“Memang kita sentiasa menyokong hasrat pasukan hoki negara untuk melayakkan diri, sebab itu kita setuju untuk melanjutkan kontrak mereka, dan bantuan yang kita berikan sepenuhnya kepada mereka sehingga kelayakan di Oman nanti, kita yakin perancangan yang di buat oleh jurulatih dan komitmen yang ditunjukkan oleh atlet, boleh membantu capai hasrat tersebut, walaubagaimanapun, jangan leka, dengan prestasi pasukan China dan Pakistan, ini dua negara yang memang terkenal dengan hoki, China pernah kalahkan kita di Hangzhou, jadi kita perlu berhati-hati dengan kedua-dua pasukan tersebut,’ kata Jefri Ngadirin, Pengarah Bahagian Atlet MSN.

Setakat ini, 5 atlet negara sudah mengesahkan tempat ke Paris selepas layak secara merit bermula dengan Bertrand Rhodict Lises (terjun), diikuti dengan Nur Shazrin Mohd Latif (pelayaran), Johnathan Wong (menembak) dan Ariana Nur Dania Mohd Zairi (memanah) selain penampilan sulung Malaysia dalam acara basikal lebuhraya wanita menerusi Nur Aisyah Mohd Zubir.

Berdasarkan statistik dan status atlet yang dibuat MSN, selain hoki menerusi barisan 16 pemain, badminton dijangka tidak berdepan masalah untuk meraih 10 tempat, begitu juga akuatik terjun dengan tambahan 5 atlet menjadi sasaran.

Selain itu, angkat berat (1 atlet), berbasikal (2 atlet), golf (2 atlet), memanah (2 atlet), pelayaran (3 atlet) dan ping pong (2 atlet) turut diletakkan dalam senarai jangkaan dengan masing-masing dua tiket ‘wild card’ sukan akuatik-renang dan olahraga menjadi pelengkap senarai 53 atlet sasaran untuk ke paris nanti.

Azeem Fahmi

Dalam pada itu, walaupun Malaysia diberikan 2 tiket ‘wild card’ sukan olahraga, harapan MSN cukup tinggi untuk melihat dua atlet, Muhammad Azeem Fahmi dan Shereen Samson Vallabouy mendapatkan tiket kelayakan secara merit.

Berdasarkan syarat kelayakan merit yang dikeluarkan badan induk olahraga dunia, ‘World Athletics’, Azeem perlu melepasi had kelayakan 10 saat yang ditetapkan bagi acara 100m manakala Shereen perlu merakam catatan di bawah 50.95 saat bagi acara 400m untuk mendapatkan tiket berkenaan.

Shereen Samson Vallabouy

“Azeem dan Shereen patut layak secara merit, bukan menerusi ‘wild card’, saya rasa persediaan telah dibuat, jurulatih mereka telah merancang program dengan baik, kita tunggulah sebab dia sampai 31 Jun, ada banyak masa untuk mereka layak, memang sekarang ni agak perlahan memandangkan di sana sekarang adalah musim sejuk, mereka akan mula bertanding secara kompetitif pada bulan tiga dan ke atas dan kita harap kedua-duanya akan mencapai kelayakan merit,” kata Jefri lagi.

Temasya Sukan Olimpik Paris 2024 akan membuka tirai saingannya pada 26 Julai 2024 dan akan berakhir pada 11 ogos 2024.

Loading...
Terkini