comscore
Tumpuan :
Sukan

SUKAN OLIMPIK: 15 atlet terawal dikenalpasti jadi sandaran menang pingat emas Olimpik pertama negara, disenaraikan dalam RTG

15 atlet terawal disasarkan RTG berpotensi memenangi pingat emas Olimpik.

PUTRAJAYA: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menerusi ‘Jawatankuasa Road To Gold’ RTG akhirnya mempunyai calon-calon atlet berpotensi menghadiahkan kilauan pingat emas di Sukan Olimpik bermula 2024 di Paris.

Senarai tersebut diputuskan dalam mesyuarat rasmi pertama sekretariat itu semalam yang turut menetapkan terma-terma tambahan.

“Senarai atlet RTG buat masa ini adalah seperti berikut Datuk Mohd Azizulhasni Awang, Muhammad Shah Firdaus Sahrom, Lee Zii Jia, Aaron Chia/ Soh Wooi Yik, Ong Yew Sin/ Teo Ee Yi, Pearly Tan/ M. Thinaah, Tan Kian Meng/ Lai Pei Jing, Goh Soon Huat/ Shevon Lai, Datuk Pandelela Rinonng Pamg dan Nor Dhabitah Sabri dengan senarai ini dijangka akan berubah apabila kejohanan kelayakan ke Paris 2024 bermula dan tertakluk kepada persetujuan Jawatankuasa RTG serta pemantauan berkala,” menurut kenyataan dikeluarkan KBS hari ini.

Terdapat tiga kriteria yang diikut iaitu calon merupakan pemenang pingat Sukan Olimpik Tokyo 2020, menduduki ranking 10 teratas dunia dan atlet podium sedia ada yang menunjukkan peningkatan pencapaian cemerlang.

Anggota jawatankuasa Datuk Nicol Ann David bersama Datuk Lee Chong Wei dan Datuk Mirnawan Nawawi pula diberi tempoh sebulan untuk memulakan proses pertemuan bersama atlet-atlet dan jurulatih mereka bagi mendengar perkembangan dan keperluan dalam program RTG selain mendapatkan persetujuan dan komitmen menyertainya.

Juga dilakukan ialah penambahan dua lagi pembantu teknikal kepada penyelaras iaitu Datuk Dr Ramlan Aziz dan Josiah Ng.

Anggaran perbelanjaan yang bakal diperuntukkan pula masih belum ada kerana hanya boleh menentukannya selepas pertemuan dan proses dikemaskini semula.

Jawatankuasa RTG memutuskan untuk tidak mengikut serta keputusan beberapa negara yang dikatakan mahu memboikot edisi di Paris tahun depan selaras dengan ketetapan Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC Olympic Charter) yang memisahkan politik dengan sukan.

Loading...
Terkini