comscore
Tumpuan :
Sukan

Sukan mesti dijauhkan dari orang politik

– FOTO : KBS

KUALA LUMPUR: Penglibatan orang politik bersama persatuan sukan kebangsaan perlu dielakkan bagi memastikan ‘reset’ sukan negara dapat memberikan impak seperti mana yang diharapkan.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh bagaimanapun tidak menafikan persatuan sukan terpaksa bergantung harap kepada individu berpengaruh bagi membantu mendapatkan dana disebabkan kekangan kewangan yang dialami badan-badan induk di negara ini.

“Cuma untuk kita memastikan reset ini berlaku, semua persatuan sukan ini mesti mempunyai dana yang mencukupi untuk bantu mereka membangunkan sukan masing-masing.

“Sebab itu, selalu bila mereka nak cari dana, mereka akan mencari tokoh-tokoh yang mempunyai banyak pengaruh untuk bantu carikan dana.

“Jadi apabila kita bercakap mengenai reset ini, model dari segi kewangan sehingga mencungkil bakat itu semua kena dilihat semula,” jelas Hannah ketika ditemui pada Kejohanan Seni Mempertahankan Diri Peringkat Kebangsaan di Stadium Titiwangsa hari ini.

Tambahnya, bagi memulakan ‘reset’ sukan negara, pihaknya akan menjalinkan kerjasama rentas kementerian bersama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

Katanya, kerjasama dengan dua kementerian itu sangat penting kerana bakat-bakat muda hadir institusi sekolah dan pengajian tinggi.

‘Reset’ sukan negara mula diperkatakan susulan pencapaian terburuk dialami kontinjen Malaysia apabila gagal mencapai sasaran 40 pingat emas yang ditetapkan apabila sekadar membawa pulang 34 emas selain 45 perak dan 96 gangsa sekali gus menamatkan cabaran di kedudukan ketujuh keseluruhan.

Loading...
Terkini