Oleh Al Shaiful Nazib Talib
BUKIT KIARA – Leong Jun Hao dan Justin Hoh diumumkan sebagai dua pemain perseorangan lelaki yang akan membawa cabaran Malaysia pada temasya Sukan Sea Kemboja yang akan berlangsung pada bulan Mei nanti.
Perkara itu disahkan sendiri Pengarah Kejurulatihan (Perseorangan) BAM, Wong Choong Hann kepada rakan media yang membuat liputan sesi latihan pasukan kebangsaan di Akademi Badminton Malaysia (ABM) di Bukit Kiara.
“Untuk acara individu, kita ada untuk perseorangan lelaki Leong Jun Hao dan Justin Hoh sebagai wakil kita dan untuk perempuan kita ada Tan Zhing Yi dan Siti Nurshuhaini dan kalau ditanya kenapa perempuan ini Wong Ling Ching tidak dikenalpasti, kita ada pelan yang selanjutnya untuk dia.
“Dalam pasukan kita, kita ada pemain seperti jun Hao yang boleh dikatakan sebagai senior, kita rasa temasya Sukan Sea kali ini kita ada sasaran seperti dalam acara perseorangan lelaki sekurang-kurangnya mencapai sasaran ke perlawanan akhir dan kita percaya untuk Justin dan Jun Hao mereka harus belajar untuk ambil kesempatan peluang ini untuk cabaran lebih besar.
“Saya rasa lebih kepada acara individu lah, untuk acara berpasukan, saya percaya ia masih belum bertembung dengan Piala Sudirman, jadi sudah tentu kita tahu apa yang kita ada, kita tidak tahu negara lain macam mana, kita cuma hanya bersedialah, tidak lupa pasukan Indonesia juga masih ada, macam mana pun kita akan tentukan sasaran sebegini,” kata Choong Hann.
Selain Jun Hao dan Justin, dua lagi pemain perseorangan lelaki, Ong Ken Yon dan Lee Shun Yang melengkapkan senarai bagi acara berpasukan, manakala wanita, Ong Xin Yee akan menyertai Zhing Yi, Siti Nurshuhaini dan Ling Ching bagi acara berpasukan.
Selain pemain perseorangan, pemain-pemain bagi acara beregu juga turut diumumkan Pengarah Kejurulatihan (Beregu) BAM, Rexy Mainaky.
Dan kali ini, kepercayaan diberikan kepada pemain-pemain muda untuk menggalas cabaran Malaysia di Kemboja nanti.
“Beregu lelaki kita ada Goh Boon Sze, Rayner Beh, Chia Wei Jie dengan Liew Xun, mungkin ada yang tanya kenapa tidak Izuddin, Haikal atau Goh Sze Fei dengan Hon Jian atau Arif dengan Yap Roy King, pasti ada yang bertanya, bila kita mahu mula.
“Sukan Sea ini sesuatu yang mana kita boleh melihat bahawa pemain itu kenapa kita fokus pemain muda kerana nanti kerana ini sebagai kesinambungan selanjutnya, umur mereka 20 tahun jadi kita siapkan dari sekarang, kita harus berani memberikan mereka peluang.
“Kalau kita tidak mahu ketinggalan, kita tidak percaya kepada pemain muda kita, bila kita mahu mulakannya, saya pilih mereka ini, saya pilih bukan untuk dari usia tetapi saya lihat dari kemampuan mereka, kebolehan ketika dalam latihan, kemahuan mereka, disiplin atau apapun menjadi satu kriteria saya untuk persiapan diri mereka,” kata Rexy.
Selain beregu lelaki, beregu wanita pula akan menampilkan pasangan kembar Cheng Su Hui dan Cheng Su Yin selain Valeree Siow, Lee Xin Jie dan Low Yeen Yuan.
Sementara acara beregu campuran, Roy King akan bermain dengan Yap Ling, manakala Chong Hon Jian akan bergandingan dengan Cheng Su Yin.