KUALA LUMPUR: Dua atlet elit kebangsaan, Muhammad Shah Firdaus Sahrom dan S. Sivasangari dipilih sebagai pemegang Jalur Gemilang kontinjen negara di Sukan Asia ke-19 kira-kira dua minggu lagi.
Pengumuman tersebut menjadi pembakar semangat kedua-dua jaguh dari basikal trek dan skuasy untuk menghadiahkan kutipan pingat di Hangzhou nanti.
Ia dinyatakan sendiri Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Tan Sri Mohamad Norza Zakaria semasa Majlis Penyerahan Watikah Pemilihan Kontinjen Malaysia ke Sukan Asia ke-19 Hangzhou 2022.
Turut dilantik ialah Presiden Persatuan Tinju Malaysia, Datuk Mohamad Iruan Zulkefli dan bekas gimnas negara, Profesor Madya Dr Farrah Hani Imran sebagai Timbalan Ketua Kontinjen, membantu Datuk Chow Kim Fatt.
Secara dasarnya, Malaysia yang mengambil bahagian dalam 22 jenis sukan akan dianggotai seramai 289 atlet dan 145 pegawai, menjadikan kesemuanya berjumlah 434 orang.
Temasya di China itu dijadual bermula pada 19 September hingga 8 Oktober.
“Hari ini kita ada kemudahan kelas pertama, bantuan kelas pertama jadi seharusnya atlet juga mempunyai minda kelas pertama, seterusnya mentaliti juara untuk memenangi pingat,” kata Tan Sri Norza.