NILAI: Skuad basikal trek wanita negara berusaha gigih meningkatkan kemampuan menuju Sukan Asia Hangzhou 2022.
Salah seorang pelumbanya, Nurul Izzah Izzati Mohd Asri menjelaskan mereka lebih banyak menumpukan latihan berkenaan setiap minggu dalam usaha membawa pulang pingat.
“Pada Kejuaraan Asia (ACC) Jun lalu, jurang kami dengan Korea Selatan yang memenangi pingat gangsa hanya dua detik macam tu sahaja, meletakkan kami di posisi keempat. Jadi kami akan meningkatkan lagi kayuhan seterusnya cuba menang di Sukan Asia,” jawab atlet berusia 20 tahun itu.
Izzah Izzati merupakan salah seorang atlet berpotensi baharu kem wanita selepas membuat kejutan menaiki podium perak acara 500 meter (M) di ACC yang dilangsungkan di Velodrom Nasional Malaysia di Nilai.
Beliau turut dijadual menyertai saingan keirin dan pecut bersama-sama dua lagi pelumba Anis Amira Rosidi dan Nurul Aliana Syafika Azizan.
Semasa lawatan Ketua Kontinjen Datuk Chong Kim Fatt di pangkalan pasukan hari ini, pasukan basikal trek berazam membawa pulang lebih pingat daripada satu emas yang disasarkan dari China.
Sandaran utama semestinya Datuk Mohd Azizulhasni Awang yang mempunyai rekod cemerlang satu emas keirin pada 2010 disusuli emas pecut, perak pecut berpasukan dan gangsa keirin semasa di Jakarta-Palembang lima tahun lalu.
Turut disenaraikan jurulatih John Beasley ialah Muhammad Shah Firdaus Sahrom, Muhammad Fadhil Mohd Zonis, Muhammad Ridwan Sahrom, Muhammad Yusri Shaari, Abdul Azim Aliyas dan Umar Hasbullah.
Sukan basikal trek yang dijadual berlangsung 26 hingga 29 September di Chun’an Jieshou Sports Centre Velodrome, mempertandingkan 12 pingat emas menyaksikan Malaysia akan menyertai acara keirin, pecut dan pecut berpasukan serta madison.