KUALA LUMPUR: Kontinjen Malaysia ke Sukan Asia ke-19 di Hangzhou 2022 nanti bakal diisi oleh 401 terdiri daripada atlet dan pegawai.
Jumlah itu diumumkan selepas Mesyuarat Pengurus Pasukan yang berlangsung di bangunan Majlis Olimpik Malaysia (MOM), ibu negara petang tadi.
Daripada jumlah tersebut, 293 daripadanya merupakan atlet yang akan bertanding merangkumi 23 jenis sukan menyaksikannya antara jumlah kedua terkecil sepanjang tiga edisi sejak 2010.
“Kali ini, atlet kategori A seramai 117, manakala kategori B ialah 176,” kata Chef De Mission, Datuk Chow Kim Fatt dalam sidang media.
Kem olahraga menjadi sukan individu terbesar yang mengambil bahagian terdiri daripada lima atlet kategori A ditambah 16 lagi atlet kategori B.
Mengenai sasaran pingat pula, satu bengkel perbincangan membabitkan semua wakil sukan bertanding dijadual pada 22 Ogos depan sebelum ia diumumkan.
Negara tuan rumah, China pula telah membuat persiapan dan bersedia menerima kedatangan negara bertanding baik dari segi venue mahupun logistik seperti penginapan serta makanan.
Suntikan semangat tambahan kepada atlet negara juga diusahakan MOM, apabila sedang berbincang dengan pihak penerbangan untuk memberikan ganjaran naik taraf tempat duduk daripada ekonomi kepada kelas pertama bagi semua pemenang pingat.
Dalam masa sama, Majlis Sukan Negara (MSN) juga menjelaskan agak sukar untuk mengadakan kem akhir mengumpulkan keseluruhan kontinjen negara memandangkan mereka sudah mengatur jadual persediaan sendiri.
“Tidak ada latihan pusat, sebab Sukan Asia ni ramai yang keluar berlatih dan bertanding. Dalam 23 sukan ni, contohnya wushu merancang lapan minggu berlatih di China, terjun pula enam minggu berada di China, berbasikal pula berada di Eropah, olahraga dah di merata-rata, jadi kita tak akan sempat buat latihan berpusat,” jelas
Jefri Ngadirin, Pengarah Bahagian Atlet.