KOTA KINABALU: Jurulatih kecergasan Sabah FC, Martin Stano, diumum sebagai pengendali baharu Sang Badak bagi menggantikan Datuk Ong Kim Swee yang tidak menyambung kontrak pada akhir November lalu.
Menerusi satu kenyataan hari ini, Pengurus Besar Sabah FC, Mohd Joh Wid berkata, pelantikan Stano itu bagi memenuhi syarat ditetapkan Liga Bolasepak Malaysia (MFL).
Katanya, MFL sebelum ini memberi tempoh sehingga 10 Disember untuk Sabah FC melantik ketua jurulatih baharu yang memiliki Lesen Pro dan Stano memenuhi syarat itu.
Berikutan itu, katanya Stano dipilih mengetuai kejurulatihan sedia ada dengan dibantu Alto Linus yang sebelum ini dilantik sebagai pengendali sementara pasukan, sebagai penolong jurulatih.
Tugas Stano sebagai jurulatih kecergasan pula diambil alih Muhamadin Abdul Ajid yang sebelum ini diletakkan di bawah pasukan Sabah FC II, sehingga tamat musim 2024/2025.
“Pelantikan ini diambil daripada barisan kejurulatihan sedia ada bagi memastikan momentum kemenangan serta pendekatan pasukan seperti latihan, taktikal, metodologi dan analisis video dapat diteruskan dan tidak menjejaskan prestasi pasukan,” katanya.
Mohd Joh berharap gandingan kejurulatihan baharu Sabah FC itu dapat meneruskan kesinambungan keserasian pasukan seperti yang ditunjukkan dalam perlawanan sebelum ini hingga ke akhir musim.
Stano, 47, yang berasal dari Slovakia sudah bersama Sabah FC sebagai jurulatih kecergasan sejak kira-kira dua tahun lalu.
“Kami sentiasa mengharapkan sokongan berterusan penyokong untuk memastikan kejayaan pasukan memperbaiki kedudukan di carta liga dan terus mara ke peringkat seterusnya dalam saingan Piala Malaysia,” kata Mohd Joh.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.