
KUALA LUMPUR: Juara Piala Malaysia 33 kali, Selangor melancarkan jersi utama atau ‘home’ skuad Gergasi Merah yang baharu bagi musim 2023.
Jersi yang direka khas buat penyokong itu menjadikan Stadium Shah Alam sebagai sumber inspirasi utama dalam mengabadikan segala sejarah dan memori indah sepanjang 28 tahun kewujudan gelanggang keramat Selangor.
Ketua Pegawai Eksekutif Selangor FC, Dr Johan Kamal Hamidon menjelaskan pemilihan Stadium Shah Alam sebagai tema jersi ‘home’ Gergasi Merah 2023 kerana ia melambangkan semangat kebersamaan serta kekuatan rakyat dan pasukan Selangor sehingga kini.
Malah, beliau menyifatkan kebesaran dan sejarah pencapaian kelab di stadium berkenaan amat berharga dan sukar ditandingi.
“Setelah pelbagai sesi perbincangan diadakan, kerajaan negeri akhirnya memutuskan untuk membangunkan kembali Stadium Shah Alam melalui Projek Pembangunan Kompleks Sukan Shah Alam.
“Justeru itu, kami merasakan ini adalah masa yang terbaik bagi mengabadikan memori stadium ini dan pada masa yang sama turut menjadikan momen ini sebagai satu titik permulaan serta lembaran baharu yang lebih gemilang buat pasukan dan negeri Selangor.
“Oleh itu, kami mengambil inisiatif memilih Stadium Shah Alam sebagai tema utama jersi home 2023 dengan menerapkan elemen ikonik infrastruktur stadium berkenaan ke dalam jersi ini.
“Tabik Terakhir adalah mesej penghormatan dan penghargaan kepada sejarah dan memori stadium berkenaan sebelum bertukar wajah menjadi Kompleks Sukan Shah Alam,” katanya.
Meneruskan penggunaan warna merah sebagai warna utama jersi dalam mengekalkan lambang keberanian, kekuatan serta semangat yang tinggi untuk pasukan, jersi itu juga menggunakan warna ‘pasir’ sebagai warna kedua kerana pasir adalah salah satu komponen konkrit yang menjadi bahan binaan asas utama dan fasad Stadium Shah Alam.
Penggunaan sudut pandangan luar bentuk Stadium Shah Alam diletakkan sebagai simbol utama di belakang, manakala sudut pandangan hadapan stadium diterapkan di kolar dan lengan jersi ini. – BERITA HARIAN