comscore
Tumpuan :
Sukan

Stadium Perak jalani proses naik taraf hujung bulan ini- Exco

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia & Sukan Negeri Perak, Khairudin Abu Hanipah berucap majlis perasmian Sambutan Hari Sukan Negara Peringkat Negeri Perak tahun 2024 di Perkarangan Kompleks Belia dan Sukan Negeri Perak di Ipoh. FOTO: NSTP

IPOH: Stadium Perak, di sini akan ditutup bagi proses menaik taraf sistem saliran dan penukaran rumput padang jenis Zeon Zoysia bermula hujung bulan ini.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Khairudin Abu Hanipah, berkata kerja-kerja naik taraf itu akan dimulakan segera selepas Kejohanan Olahraga Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) yang berlangsung 20 hingga 24 Oktober ini.

Katanya, proses naik taraf menggunakan geran Kementerian Belia dan Sukan (KBS) berjumlah RM500,000 itu dijangka siap pada Jun tahun depan, dengan sepanjang tempoh itu pasukan Liga Super Perak FC akan bermain di Stadium Manjung pada sebelah petang.

“Sepanjang proses naik taraf itu, Stadium Perak akan ditutup dan pasukan Liga Super Perak akan bermain di Stadium Manjung pada sebelah petang dengan perlawanan pertama adalah pada 19 Oktober ini apabila Perak menentang Sabah.

“Pelantikan kontraktor sudah dibuat oleh Majlis Bandaraya Ipoh (MBI). Kerja-kerja naik taraf itu akan bermula apabila selesai sahaja Kejohanan Olahraga MSSM bulan ini.

“Sehingga selesai kerja-kerja naik taraf dan sistem perparitan itu, barulah pihak MFL (Liga Bolasepak Malaysia) akan membuat ‘inspection’ (pemeriksaan) dan kalau sistem serta padang sesuai maka mungkin perlawanan untuk Liga Super pada musim akan datang akan berlangsung di Stadium Perak,” katanya.

Khairudin berkata demikian ketika ditemui pemberita ketika menghadiri majlis perasmian Sambutan Hari Sukan Negara peringkat Perak 2024 di Kompleks Belia dan Sukan Negeri Perak, di sini hari ini yang disempurnakan oleh Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.

Semalam, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh dilapor berkata KBS menyalurkan geran berjumlah RM4.6 juta kepada 10 negeri bagi pelaksanaan projek menaik taraf padang bola sepak di stadium utama negeri masing-masing termasuk negeri Perak yang merupakan antara lapan negeri menerima peruntukan penuh RM500,000 bagi skop kerja menaik taraf saliran dan penukaran rumput.

Sebelumnya, MFL menerusi kenyataan mengumumkan tarikh perlawanan Liga Super bagi pasukan Perak FC dan Johor Darul Ta’zim (JDT) yang ditunda sebelum ini akan berlangsung di Stadium Majlis Perbandaran Manjung pada jam 5 petang, 10 November ini.

Ia susulan dua sesi perlawanan bagi pasukan itu yang sepatutnya berlangsung masing-masing pada 17 Ogos dan 5 Oktober lalu ditangguhkan komisioner perlawanan berikutan keadaan padang di Stadium Perak, Ipoh yang tidak sesuai digunakan akibat hujan lebat.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini