Oleh: Saiyed Ismail Saiyed Hussin
PETALING JAYA: Kemampuan menampung lebih 80,000 penyokong, venue neutral serta kemudahan terbaik menjadi beberapa kriteria pemilihan Stadium Nasional, Bukit Jalil (SNBJ) sebagai gelanggang perlawanan akhir Piala Malaysia 2022.
Penganjur Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) dalam pengumuman mengenai pertembungan kemuncak kempen edisi ke-96 itu menjelaskan stadium tersebut bersedia menganjurkan perlawanan yang akan mengambil tempat pada 26 November nanti.
“MFL telah melakukan tinjauan dan pemeriksaan keadaan padang serta kemudahan-kemudahan di SNBJ bersama wakil Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) hari ini. Hasil pemeriksaan dan maklum balas daripada pihak PSM mendapati keadaan padang dalam keadaan baik dan proses penjagaan rapi akan terus dilakukan menjelang aksi akhir itu nanti,” menurut kenyataan dikeluarkan MFL.
Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Stuart Ramalingam meluahkan rasa gembira apabila SNBJ sekali lagi menjadi pilihan perlawanan akhir yang berstatus tinggi selepas sambutan meriah ditunjukkan semasa melangsungkan penentuan juara Piala FA di lokasi sama dua bulan lalu.
Ini kerana gelanggang berkenaan boleh diisi kapasiti penyokong yang ramai dengan fasiliti terbaik sekaligus memberikan keselesaan dan keselamatan kepada orang ramai.
Seramai 84,321 kehadiran dicatatkan semasa Johor Darul Ta’zim (JDT) menjuarai Piala FA dengan mengatasi Terengganu (TFC) di Stadium Nasional 10 September lalu, justeru jumlah sama turut dijangkakan pada satu lagi perhitungan terakhir domestik tahun ini.