Tumpuan :
Sukan

Stadium Merdeka kembali gamit nostalgia bola sepak negara

Pengerusi Jawatankuasa Piala Sultan Selangor, Tan Sri Abd Karim Munisar (tiga dari kanan) mengadakan lawatan ke Stadium Merdeka bagi meninjau kerja-kerja membaikpulih stadium itu yang akan digunakan sebagai gelanggang pertandingan itu Ogos depan. – Foto: NSTP 

KUALA LUMPUR: Kali terakhir menyaksikan saingan antarabangsa  skuad bolasepak negara menentang Kemboja pada 2001 di Stadium Merdeka dan aksi Liga Malaysia pertemuan Kuala Lumpur menentang Sabah pada 2015, stadium ‘keramat’ itu kembali mencetus kenangan apabila berlansungnya Piala Sultan Selangor edisi ke-20 , 17 Ogos depan.

Stadium yang pernah menjadi gelanggang ketika pasukan bola sepak negara melayakkan diri ke Sukan Olimpik 1980 itu bakal menjadi medan pertarungan antara Selangor dan Singapura selepas kali terakhir ia dianjurkan pada 2019.

“Tahun ini Piala Sultan Selangor 2024 amat bermakna sekali, sangat bernostalgia kerana Stadium Merdeka ini dibawa kembali dalam bentuk asal dan di sinilah lahirnya legenda pemain bola sepak Selangor.

“Ia memang mengembalikan sejarah, di sinilah mereka beraksi dengan bergandingan bersama Allahyarham Datuk Mokhtar Dahari, mendiang Datuk R Arumugam, Datuk Santokh Singh, Soh Chin Ann yang membantu pasukan kebangsaan sehingga layak ke Sukan Olimpik.

“Sebab itu, saya rasa peminat bola sepak pastinya tertunggu-tunggu untuk melihat suasana pada 17 Ogos ini,” kata Pengerusi Jawatankuasa Piala Sultan Selangor, Tan Sri Abd Karim Munisar kepada media selepas mengadakan lawatan ke Stadium Merdeka, hari ini.

Kejohanan Piala Sultan Selangor membabitkan pasukan Pilihan Selangor dan Pilihan Singapura bagi merebut piala berprestij serta wang tunai RM80,000 selain perlawanan veteran kedua-dua pasukan sebagai acara pembuka tirai perlawanan.

Untuk rekod, Pilihan Selangor pernah meraih gelaran sebanyak sembilan kali iaitu pada 2001, 2003, 2005, 2008, 2012, 2013, 2014, 2018 dan 2019.

Pilihan Singapura pula pernah meraih gelaran sebanyak tujuh kali iaitu pada 2006, 2007, 2009, 2010, 2011, 2016 dan 2017.

Abd Karim turut memaklumkan jumlah penonton bagi edisi kali ini terpaksa dihadkan memandangkan kapasiti stadium adalah sekitar 20,000 dan peminat boleh mendapatkan tiket dengan harga RM10.

“Kita tak ada masalah untuk memenuhi kira-kira dalam 20,000 penonton. Kita duduk di atas bangku (panjang) dan itu satu originaliti (sebelum ini) dan kita akan dapat merasainya. Seperti kembali ke masa silam dan menikmati suasananya,” katanya.

Loading...
Terkini