Tumpuan :
Sukan

SSTMI-PKS UNITEN rangkul gelaran hatrik kategori wanita

Foto: Ihsan MHC

KUALA LUMPUR: SSTMI-PKS UNITEN cemerlang merangkul kejuaraan Liga Hoki Remaja 2023 bagi kategori wanita selepas mudah mengatasi SSNP-MSP-PKS UNITEN dengan kemenangan besar 8-0 di peringkat akhir, petang tadi.

Kejayaan itu sekaligus menyaksikan SSTMI-PKS UNITEN meraih kejuaraan hatrik, tiga edisi berturut-turut.

Berlangsung di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, SSTMI-PKS UNITEN bermula garang apabila mendahului 5-0 di separuh masa pertama.

Ia menyaksikan tiga gol terhasil di suku pertama dengan jaringan pembukaan disumbangkan gol padang Asyiqin Syakirah Hisham, minit ke-8.

Selepas itu, tuan rumah meraih dua gol pantas, kali ini dijaringkan Nurdini Batrisya Ridzuan hasil gol sudut penalti dan jaringan padang Ain Balqis Shamsul hanya dalam tempoh seminit pada minit ke-16.

Meski selesa mendahului 3-0, SSTMI-PKS UNITEN tidak mahu mengendurkan asakan dan berjaya menambah dua gol di suku kedua.

Farina Natasha Badrul Hisham meledak gol cantik sudut penalti minit ke-2 disusuli penyudah gol padang Nur Irdina Mohd Nor, 8 minit berselang.

Bersambung separuh masa kedua, pasukan bimbingan Khairul Izwan Kambi menyumbat tiga lagi tambahan jaringan.

Dua gol terhasil menerusi sudut penalti, masing-masing disumbangkan Zulaikha Nazihah Tamjit minit ke-32 dan Zuha Qistina Ridzuan, pada minit ke-43.

Melengkapkan malam gemilang SSTMI-PKS UNITEN ialah jaringan padang Alya Adwiyah Suhaimi untuk keputusan penuh 8-0 kekal sehingga tamat permainan.

Kemenangan memihak SSTMI-PKS UNITEN ini bermakna mereka merangkul gelaran hatrik, tiga edisi berturut-turut sejak tahun 2022 dan 2019.

Pada edisi 2020, Liga Hoki Remaja ditutup akibat pandemik Covid-19 manakala tahun 2021, saingan wanita pula tidak dipertandingkan.

Loading...
Terkini