KUANTAN: Pengendali Sri Pahang FC, Fandi Ahmad tidak menolak kemungkinan akan berlaku rombakan pemain apabila berdepan Johor Darul Ta’zim (JDT) pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, Selasa ini.
Legenda bola sepak Singapura itu berkata, rombakan itu perlu untuk memastikan skuad Tok Gajah berada pada prestasi terbaik menjelang aksi suku akhir kedua Piala Malaysia pada 22 Disember ini.
“Mungkin kita ada rombakan sedikit apabila bertemu JDT kerana saya turut memberikan fokus pada aksi suku akhir kedua berdepan Perak FC nanti.
“Saya harap segalanya berada pada prestasi terbaik terutama daripada segi kecergasan kerana pemain agak kepenatan selepas menempuh perjalanan jauh ke Manjung.
“Pada masa sama, pasukan terus ke Johor Bahru untuk persediaan berdepan JDT Selasa ini,” kata pengendali berusia 62 tahun itu.
Berdasarkan jadual asal, skuad Tok Gajah akan beraksi di Stadium Majlis Perbandaran Temerloh Selasa ini, tetapi dipindah ke Stadium Sultan Ibrahim.
Perubahan tempat itu dilakukan atas faktor cuaca tidak menentu di Temerloh dan kemungkinan berlaku limpahan paras air Sungai Pahang.
Namun, Fandi tetap memastikan anak buahnya dapat mempamerkan prestasi terbaik memandangkan Sri Pahang berada di kedudukan kelapan liga.
Pada aksi di Stadium Sultan Ismail 22 Jun lalu, skuad Tok Gajah gagal menahan asakan Harimau Selatan apabila tewas 0-3.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.