Tumpuan :
Sukan

Sri Pahang mara separuh akhir Piala Malaysia

Manuel Hidalgo mencipta hatrik buat Sri Pahang ketika menentang Perak, sebentar tadi. – FOTO: Sri Pahang FC

TEMERLOH: Biarpun seri 3-3, Sri Pahang FC layak ke separuh akhir Piala Malaysia selepas menewaskan Perak FC menerusi agregat 4-3 pada suku akhir kedua di Stadium Majlis Perbandaran Temerloh, sebentar tadi.

Kemenangan itu menyaksikan skuad kendalian Fandi Ahmad akan berdepan sama Sabah FC atau Kuching City FC yang beraksi pada suku akhir kedua di Stadium Likas, malam esok.

Pada perlawanan itu, tuan rumah tidak menunggu lama untuk mendahului menerusi jaringan pemain tengah, Manuel Hidalgo yang menewaskan penjaga gol Perak, Muhammad Haziq Nadzli seawal minit kelima.

Namun, pelawat tidak menunggu lama untuk menjaringkan gol penyamaan hasil sentuhan kapten pasukan, Wan Zack Haikal Wan Nor selepas menewaskan penjaga gol Sri Pahang, Azfar Arif Mohd Sukri pada minit kesembilan.

Dua minit selepas itu, Kpah Sherman hampir menambah jaringan buat skuad Tok Gajah tetapi berjaya diselamatkan Muhammad Haziq.

Pada minit ke-30, Hidalgo menjaringkan gol kedua buat Sri Pahang selepas pengadil perlawanan, Muhammad Izzul Fikri Kamaruzaman memberikan penalti apabila seorang pemain tuan rumah dikasari dalam kotak penalti.

Jesper Nyholm kembali menyamakan kedudukan 2-2 buat Perak pada minit ke-41 sebelum Hidalgo sekali lagi muncul penjaring yang juga hatrik selepas mudah menyempurnakan sepakan penalti sebelum tamat babak pertama.

Bersambung babak kedua, pemain gantian, Ahmad Daniel Hakimi Ahmad Azmil menjaringkan gol penyamaan 3-3 pada minit ke-54.

Selepas itu, pelawat yang ketinggalan 3-4 menerusi agregat berusaha untuk menambah jaringan tetapi dinafikan pertahanan tuan rumah.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini