KUANTAN: Sri Pahang FC dan Kuala Lumpur (KL) City FC terpaksa berkongsi satu mata apabila terikat 1-1 pada aksi Liga Super di Stadium Majlis Perbandaran Temerloh, malam tadi.
Terdahulu, perlawanan yang sepatutnya bermula pada jam 8.15 malam tertangguh selama 30 minit akibat hujan lebat dan padang bertakung air.
Selepas keadaan cuaca semakin baik, pengadil perlawanan, Mohd Amirul Izwan Yaacob kemudian memutuskan untuk memulakan perlawanan dengan Sri Pahang jelas menguasai hampir keseluruhan aksi pada babak pertama.
Peluang pertama hadir pada minit ke-10 menerusi tandukan Aleksandar Cvetkovic tetapi sedikit tersasar di sebelah kiri gawang KL City ketika penjaga gol, Muhammad Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy sudah tertewas.
Namun, KL City yang memiliki satu peluang pada babak pertama berjaya memanfaatkannya apabila menjaringkan gol pendahuluan hasil sentuhan pemain tengah, Kenny Pallraj pada minit ke-45.
Sri Pahang bagaimanapun berjaya mendapatkan jaringan penyamaan menerusi Stefano Brundo yang menyempurnakan sepakan penalti selepas bola terkena tangan Adrijan Rudovic pada minit ke-79.
Keputusan seri itu kekal hingga tamat perlawanan.