KUANTAN: Kelab Bolasepak Sri Pahang (SPFC) menjangkakan aksi Sri Pahang FC dalam saingan Liga Malaysia (Liga M), 2024/2025, khususnya Liga Super di Stadium Majlis Perbandaran Temerloh (MPT), Temerloh mampu menarik lebih ramai penyokong.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SPFC, Datuk Mohammed Suffian Awang, berkata aksi perlawanan yang beralih ke Stadium MPT dari Stadium Darul Makmur, Kuantan, membantu peminat Sri Pahang dari enam daerah iaitu Temerloh, Maran, Raub, Jerantut, Lipis dan Bentong.
“Sebelum ini, kehadiran peminat dari enam daerah berkenaan ke Stadium Darul Makmur agak jauh tetapi apabila perlawanan beralih ke Temerloh, ia memberi peluang kepada peminat dari Pahang Barat itu untuk memberi sokongan kepada skuad kendalian Fandi Ahmad.
“Kita percaya Stadium MPT yang mempunyai kapasiti 10,000 penonton mampu memenuhi impian penonton Tok Gajah di sekitar Temerloh kerana jarak perjalanan yang lebih dekat berbanding ke Stadium Darul Makmur,” katanya.
Sri Pahang menjadikan Stadium MPT sebagai gelanggang rasmi tuan rumah susulan kerja menaik taraf rumput padang dan kemudahan lain di Stadium Darul makmur yang bakal bermula pada Mei atau Jun depan.
Mengikut perancangan, Stadium Darul Makmur akan ditutup bagi tempoh kira-kira enam bulan bagi menaik taraf rumput padang.
Pemilihan Stadium MPT dibuat kerana ia gelanggang kedua terbaik di Pahang terutama mempunyai kapasiti kira-kira 10,000 penonton.
Sementara itu, Yang Dipertua MPT, Suris Mihat berkata setakat ini, segalanya persediaan berjalan lancar terutama daripada segi padang dan lampu limpah bagi memenuhi kehendak Liga Bolasepak Malaysia (MFL).
“Sebenarnya, pihak MFL ada mengadakan lawatan ke stadium baru-baru ini bagi melihat kemudahan dan penambahbaikan yang perlu dilakukan bagi membolehkan Stadium MPT menganjurkan perlawanan Liga M.
“Perbincangan turut diadakan bersama SPFC untuk memastikan keadaan padang serta kemudahan lain pada tahap terbaik.“Oleh itu sebelum perlawanan liga bermula, MPT akan memastikan segalanya mengikut perancangan,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.