comscore
Tumpuan :
Sukan

SRAM harap peruntukan tambahan, persediaan ke Olimpik 2028

Presiden SRAM Gerard Monteiro. – Foto fail NSTP

KUALA LUMPUR: Persatuan Skuasy Raket Malaysia (SRAM) berharap Majlis Sukan Negara (MSN) akan menyalurkan bantuan tambahan 20 hingga 30 peratus sebagai persediaan menghadapi kejohanan utama akan datang, termasuk Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA28).

Presidennya Gerard Monteiro berkata peruntukan tambahan itu diperlukan kerana badan sukan negara kini beroperasi dengan kewangan tahunan terhad kira-kira RM4 juta hingga RM5 juta daripada MSN dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

“Peruntukan tambahan itu sangat membantu kami untuk mempersiapkan diri dengan baik menjelang Olimpik akan datang dan sudah tentu Sukan Asia 2026. Jika kita menyertai Komanwel 2026,” katanya pada sidang media di pejabat SRAM di Stadium Hoki Tun Razak di sini hari ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika pembentangan Belanjawan 2025 Jumaat lepas berkata kerajaan memperuntukkan lebih RM230 juta bagi pembangunan sukan di negara ini.

Peruntukan berkenaan merangkumi Program Podium, latihan intensif atlet dan program Road to Gold (RTG), serta persediaan atlet para untuk kejohanan antarabangsa termasuk Deaflympics 2025 di Tokyo, Jepun.

Sementara itu, Gerard berkata SRAM akan mencadangkan Noor Ainaa Amani Ampand dan Yee Xin Ying untuk dimasukkan ke dalam Program Fast Track yang diletakkan di bawah Jawatankuasa RTG.

Beliau berkata perkara itu akan dikemukakan pada mesyuarat Jawatankuasa RTG akan datang.

“Kita mahu mengetengahkan atlet berpotensi, Noor Ainaa Amani Ampandi dan Yee Xin Ying. Kita mempunyai kumpulan bakat yang besar, banyak pemain kita boleh gilap dalam tempoh empat tahun akan datang,” katanya.

Program Fast Track diperkenalkan bertujuan melahirkan atlet muda berbakat yang baharu berusia 16 hingga 25 tahun dan berpotensi merangkul pingat emas di Sukan Olimpik Los Angeles 2028.

Empat pemain skuasy negara yang berada dalam program itu ketika ini ialah Ng Eain Yow, S Sivasangari, Aifa dan Aira Azman.

Dalam perkembangan lain, Gerard mengumumkan Andrew Cross sebagai Pengarah Kejurulatihan baharu berkuat kuasa 1 Jan 2025, mengambil alih tugas Mejar (B) S Maniam.

“Cross telah memainkan peranan penting dalam menyediakan rangka kerja kejurulatihan. Pemahaman mendalamnya tentang sukan skuasy dan pengalamannya menjadikan beliau calon ideal untuk meneruskan kerja cemerlang telah dilakukan oleh Maniam,” katanya.

Menurut Gerard, bekas pemain kebangsaan Sharil Shahidan juga dinamakan sebagai ketua jurulatih baharu manakala Ajaz Azmat dari Pakistan akan memikul peranan sebagai jurulatih berprestasi tinggi. – BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini