TAMWORTH: Jaringan di masa tambahan menyelamatkan kelab Liga Perdana Inggeris (EPL), Tottenham Hotspur daripada diaibkan pasukan di divisyen kelima, Tamworth dalam saingan pusingan ketiga Piala FA, sebentar tadi.
Tottenham bangkit untuk mencatat kemenangan 3-0 ke atas Tamworth, pasukan yang berada 96 anak tangga di bawah mereka dalam piramid bola sepak Inggeris.
Perlawanan tampak hambar dari awal wisel permainan dengan Tamworth dilihat menerapkan corak bertahan sebelum pasukan yang dibarisi pemain sambilan itu sudah keletihan pada masa tambahan dan ia dilihat peluang terhidang buat Tottenham.
Selepas terikat tanpa jaringan di sepanjang 90 minit permainan, jaringan sendiri Nathan Tshikuna pada minit ke-101 meletakkan Spurs di hadapan di Lamb Ground.
Pemain gantian, Dejan Kulusevski kemudian menggandakan jaringan buat Spurs sebelum Brennan Johnson melengkapkan gol ketiga sekali gus menyelamatkan maruah pasukan. – REUTERS
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.