Tumpuan :
Sukan

Speedy Tigers kembali hidupkan peluang ke separuh akhir

Oleh: Fariz Fikri Zolkarnain

KUALA LUMPUR: Skuad hoki lelaki kebangsaan kembali menghidupkan peluang ke separuh akhir pada Kejohanan Hoki Juara-Juara Asia di Hulunbuir, Inner Mongolia, China, sebentar tadi.

Ini selepas skuad bimbingan Sarjit Singh berjaya merakam kemenangan pertama apabila menewaskan Jepun 5-4 pada aksi keempat round robin.

The Speedy Tigers terlebih dahulu memimpin perlawanan dengan kelebihan dua gol menerusi pukulan sudut penalti Syed Syafiq Syed Cholan pada minit ke-12 sebelum Norsyafiq Sumatri menggandakan jaringan melalui gol padang, minit ke-21.

Bagaimanapun, Jepun bangkit meledak tiga gol selepas itu melalui dua pukulan sudut penalti Ken Nagayoshi pada minit ke-24 dan 28 sebelum gol padang Tsubasa Tanaka pada minit ke-36 menjadikan kedudukan semasa memihak pasukan di ranking ke-15 dunia itu dengan keputusan 3-2.

Tersentak, Malaysia memperkemas permainan dan hasilnya skuad negara kembali di depan 5-3 apabila pukulan sudut penalti Syed Syafiq sekali lagi mengegar gawang Jepun pada minit ke-40 disusuli dua gol padang Syarman Mat Tee dan Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal, minit ke-47 dan 48.

Jepun cuba merapatkan kedudukan dengan gol keempat menerusi jaringan padang Kazumasa Matsumoto pada minit ke-51, namun sudah terlambat untuk menyekat kemenangan Malaysia dengan keputusan penuh 5-4.

Bagi Sarjit, beliau lega anak buahnya berjaya melakar kemenangan pertama selepas tewas kepada China dan India serta seri menentang Pakistan sebelum ini.

“Kemenangan yang bagus dan perlu dibayar dengan harga yang mahal kerana ada beberapa pemain yang mengalami kecederaan.

“Usaha yang baik dipamerkan keseluruhan pemain walaupun adakalanya membuat beberapa kesilapan di atas padang. Pasukan berhak untuk menang pada hari ini.

“Untuk menjaringkan 5 gol di peringkat antarabangsa sebenarnya adalah sesuatu yang baik tetapi jika pemain mengambil setiap peluang yang ada untuk menjaringkan gol sudah pasti pasukan dapat menjaringkan lebih banyak gol pada hari ini,” katanya.

Justeru, Sarjit berharap tempoh rehat yang ada dapat dimanfaatkan barisan pemainnya sebelum turun menentang Korea pada aksi terakhir round robin, Sabtu ini.

“Rehat sehari esok, pemain perlu mendapatkan rehat yang cukup. Barisan kejurulatihan akan membuat persiapan untuk perlawanan terakhir bertemu Korea.

“Korea sebuah pasukan yang bagus. Kami perlu membuat persiapan yang rapi untuk bertemu mereka. Hanya kemenangan yang akan menjamin pasukan untuk layak ke semi final,” jelasnya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini