KUALA LUMPUR – Impian Goh Soon Huat dan Shevon Lai untuk memperbaiki pencapaian edisi lalu tidak kesampaian apabila mereka tewas di perlawanan akhir Terbuka Switzerland.
Tampil selaku wakil tunggal Malaysia beraksi di perlawanan akhir, harapan menggunung diletakkan kepada mereka memandangkan lawan dari China, Jiang Zhen Bang dan Wei Ya Xin hanya menduduki ranking ke 33 dunia berbanding Soon Huat-Shevon di posisi ke 11 dunia.
Bagaimanapun, disebalik aksi sengit yang disajikan, mereka dikejutkan dengan kekalahan 17-21 pada set pembukaan.
Bersambung set kedua, kebangkitan berjaya dilakukan Soon Huat dan Shevon, walaupun cabaran terus diberikan pasangan dari China itu, mereka akhirnya lega dengan kemenangan 21-19, mengjeret permainan ke set penentuan.
Pertarungan kedua-dua beregu terus berlangsung cukup panas sebelum kemenangan akhirnya memihak pasangan dari China menerusi keputusan 21-17, menamatkan pertarungan yang berlangsung selama 60 minit.
Tahun lalu, Soon Huat-Shevon turut mara ke pentas final sebelum tewas di tangan gandingan Jerman, Mark Lamsfuss-Isabel Lohau yang mencatat kemenangan 21-12, 18-21, 17-21 dalam tempoh 1 jam 5 minit.
Untuk rekod, kali terakhir Soon Huat-Shevon meraih kejuaraan adalah pada Terbuka Singapura tahun 2018. Ketika itu mereka menewaskan gandingan Indonesia, Tontowi Ahmad-Liliyana Natsir 21-19, 21-18.
Soon Huat-Shevon selepas ini dijadual menyertai Masters Sepanyol minggu depan dan dijadual bertemu pasangan Taiwan, Chang Ko Chi-Lee Chih Chen di pusingan pertama.