Tumpuan :
Sukan

Slot sedia turunkan pemain simpanan hadapi Plymouth

Arne Slot sedia beri peluang kepada pemain simpanan. – FOTO: Reuters

LIVERPOOL: Pengendali Liverpool, Arne Slot akan memberi peluang kepada beberapa pemain simpanan dalam perlawanan Piala FA menentang Plymouth Argyle, Ahad ini, ketika The Reds bersiap sedia menghadapi jadual padat bulan ini.

Selepas mara ke final Piala Liga, Liverpool bakal bertandang ke kelab Liga Kejuaraan itu sebelum berdepan lima aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) yang mencabar menentang Everton, Wolverhampton Wanderers, Aston Villa, Manchester City dan Newcastle United.

“Ia sentiasa menjadi perlawanan yang sukar, tidak kira siapa yang kami turunkan kerana ia di tempat lawan. Bagi Plymouth, ini mungkin perlawanan paling besar mereka, seperti yang sering berlaku apabila Liverpool bertandang ke mana-mana,” kata Slot dalam sidang media sebelum aksi pusingan keempat Piala FA.

“Saya fikir penting untuk memberi minit permainan kepada pemain yang jarang beraksi, supaya mereka sentiasa bersedia jika diperlukan nanti.

“Jika mereka langsung tidak bermain, sukar untuk mereka menyesuaikan diri apabila pasukan berdepan kecederaan atau penggantungan. Jadi, kami pasti akan menggunakan beberapa pemain yang kurang mendapat peluang,” tambahnya.

Dalam perkembangan lain, Slot turut mengesahkan bahawa Trent Alexander Arnold, yang mengalami kecederaan paha dan terlepas kemenangan 4-0 ke atas Tottenham Hotspur dalam separuh akhir Piala Liga, tidak akan diturunkan menentang Plymouth.

Namun, ada kemungkinan dia kembali beraksi dalam derby Merseyside menentang Everton pada 12 Februari.

“Agak sukar untuk mengatakan sama ada dia akan kembali untuk perlawanan itu. Ia bukan kecederaan serius yang mengambil masa berbulan-bulan atau berminggu-minggu, tetapi perlawanan bertemu Everton hanya tiga hari selepas aksi menentang Plymouth,” jelas Slot.

“Kami akan menilai keadaannya kerana kami tidak mahu mengambil sebarang risiko dengan jadual perlawanan yang padat selepas ini. Jika dia cergas sepenuhnya, kami pasti akan menurunkannya,” katanya. – REUTERS

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini