Tumpuan :
Sukan

SKUASY: Wee Wern gantung raket, bakal mulakan karier baharu

KUALA LUMPUR: Bekas pemain skuasy wanita nombor satu negara, Low Wee Wern mengumumkan persaraannya dari sukan itu pada usia 34 tahun.

Pemenang dua pingat emas Sukan Asia itu memutuskan untuk menggantung raket sebagai pemain selepas lebih 20 tahun mewakili negara dan bakal memulakan karier baharu tidak lama lagi.

“Dengan emosi yang bercampur-campur saya mengumumkan persaraan saya daripada skuasy profesional. Ia hari yang tidak dapat dielakkan sepanjang perjalanannya hingga kini! Saya berterima kasih kepada pasukan saya yang menyokong saya, penaja dan semua orang. Sokongan tidak berbelah bahagi yang saya terima telah menjadi penggerak di sebalik perjalanan yang tidak dapat dilupakan ini.

Walaupun bab ini berakhir, semangat untuk sukan ini dan memberi inspirasi kepada orang lain kekal. Inilah permulaan dan perjalanan baru yang penuh dengan dorongan, keazaman dan motivasi. Saya teruja dengan peluang akan datang. Terima kasih semua kerana menjadi sebahagian daripada perjalanan yang luar biasa ini! Saya rasa amat diberkati yang tidak terkata.” menurut hantarannya.

Beliau mengakui sukar untuk mengakhiri kariernya di pentas profesional tetapi perlu menghadapinya dengan perasaan bangga hasil sokongan dan bantuan yang diterima sepanjang bergelar pemain.

Pemain kelahiran Pulau Pinang itu turut membayangkan akan memulakan peranan baharu selepas ini, yang menyaksikannya dikaitkan dengan tugasan sebagai jurulatih.

Sejak mula menyertai kejohanan pada usia 11 tahun, antara kemuncak pencapaiannya ialah menaiki podium Sukan Asia dan Kejuaraan Dunia.

Wee Wern membantu skuad wanita memenangi pingat emas berpasukan di Guangzhou China pada 2010 dan mempertahankannya di Incheon selepas itu selain turut meraih perak perseorangan di Korea Selatan apabila tewas kepada Datuk Nicol David di perlawanan akhir.

Ranking terbaik pernah didudukinya ialah kelima dunia pada Oktober 2014.

Wee Wern membuat penampilan di 14 perlawanan akhir Jelajah Persatuan Pemain Profesional Skuasy (PSA) diiringi enam gelaran juara.

Pemenang pingat perak berpasukan wanita Dunia 2014 itu dibelenggu kecederaan lutut menyebabkannya menjalani beberapa pembedahan termasuklah semasa 2016 dan 2021.

Beliau kembali ke pentas pertandingan sejak September 2022 namun terpaksa mengucapkan selamat tinggal selepas dua dekad berjuang membawa nama negara.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini