Tumpuan :
Sukan

Skuasy: Rachel sandaran tunggal skuad skuasy negara di peringkat separuh akhir Terbuka Malaysia

Rachel (depan) membalas pukulan Shahin pada perlawanan suku akhir Terbuka Malaysia di Pusat Skuasy Nasional, Bukit Jalil petang tadi. – FOTO: Persatuan Raket Skuasy Malaysia (SRAM)

Oleh Saiyed Ismail Saiyed Hussin 

BUKIT JALIL: Daripada tiga wakil yang bertarung di fasa suku akhir saingan skuasy Terbuka Malaysia hari ini, hanya seorang sahaja yang meneruskan cabaran negara ke peringkat berikutnya.

Rachel Arnold menjadi harapan tunggal tuan rumah apabila mempamer pemainan memberangsangkan dengan menumpaskan Nadine Shahin.

Rachel yang diletakkan pilihan kelapan tumpas 6-11 kepada lawan dari Mesir itu tetapi berjaya bangkit dalam set berikutnya.

Pemain kelahiran Kuala Lumpur itu merakam keputusan 11-1 disusuli tumpuan penuh ketika mencatat 11-9 dan 11-9 ke atas pilihan keempat yang membawanya ke fasa empat terbaik esok.

Cubaan Malaysia untuk mempunyai lebih wakil tidak kesampaian selepas seorang lagi pemain perseorangan wanita Aifa Azman kecundang.

Pilihan kelima Aifa terpaksa akur kepada kehandalan Nele Gilis dari Belgium dengan kekalahan 0-3.

Kejayaan 11-9, 11-4 dan 11-2 Gilis yang diletak selaku pilihan kedua menyaksikannya berdepan Rachel dalam perebutan ke perlawanan akhir.

Langkahan pemain lelaki negara menerusi Muhammad Addeen Idrakie Bahtiar juga hanya setakat suku akhir.

Pertembungan Addeen dan pilihan pertama kejohanan Tarek Momen dari Mesir di Pusat Skuasy Nasional, Bukit Jalil sebentar tadi berakhir dengan keputusan 3-0 hasil catatan 11-1, 11-9 dan 11-6.

Loading...
Terkini