KUALA LUMPUR: Persatuan Raket Skuasy Malaysia (SRAM) tetap berpuas hati dengan kejayaan skuad negara membawa pulang masing-masing satu ingat perak dan gangsa dari Kejuaraan Asia Beregu Campuran di China yang berakhir semalam.
Pengarah Kejurulatihannya, S. Maniam menganggap pemain telah melakukan yang terbaik disebalik beberapa kekurangan yang perlu diatasi selepas ini.
“Dalam akhir, ia pertembungan yang amat sengit, lawan India mempunyai kelebihan tipis, ada sedikit yang perlu dilakukan dalam persiapan ke Sukan Asia. Kita telah melihat dari rakaman perlawanan, dan kita tahu apa yang menjadi kekuatan serta kelemahan pemain,” katanya yang pulang bersama pasukan ke tanahair hari ini.
Sandaran Malaysia di perlawanan akhir semalam Rachel Arnold/ Ivan Yuen tumpas straight set kepada Harinder Pal Singh dan Dipika Pallikal Karthik menerusi catatan 10-11 dan 8-11.
Ia menyebabkan kedua-duanya akur dikalungkan pingat perak, manakala Aifa Azman/ Mohd Syafiq Mohd Kamal menewaskan
Anahat Singh/ Abhay Singh dari India 11-8, 11-10 untuk menduduki podium ketiga di Hangzhou.
Badan induk skuasy itu merancang mengadakan satu lagi saingan jemputan beregu antarabangsa bermula 19 hingga 22 Julai ini di Bukit Jalil dengan beberapa negara sudah menunjukkan minat untuk mengambil bahagian.