Tumpuan :
Sukan

SKUASY: Pemain remaja berada di landasan betul, Malaysia terus menyinar di pentas Asia

Kejayaan pemain negara di Kejuaraan Asia Remaja Individu Edisi ke-30 di China kali ini mengatasi pencapaian pada 2022. – Foto: SRAM

DALIAN: Pasukan skuasy negara menutup kempen Kejuaraan Asia Remaja Individu ke-30 dengan gemilang apabila membolot lima kilauan emas dan empat perak di hari terakhir saingan.

Seramai sembilan pemain negara melayakkan diri ke perlawanan kemuncak di Dewan Xiqang, menyaksikan enam daripadanya bertembung sesama sendiri untuk mengesahkan tiga emas dan tiga perak dalam genggaman.

Pemain sensasi, Aira Azman paling ceria apabila dapat mempertahankan gelaran juara Asia kali kedua berturut-turut menerusi kategori bawah 19 tahun (B-19).

Beliau yang menentang rakan senegara K. Sehveetrraa terlebih dahulu dikejutkan dengan kekalahan 9-11 di permainan pembukaan, namun menyusun semula percaturan dengan memenangi tiga aksi berikutnya 11-6, 11-8 dan 11-8.

“Saya amat gembira dengan prestasi saya sepanjang kejohanan ini. Pastinya ia bukan mudah untuk saya kerana sebagai penyandang juara, ada banyak tekanan yang saya hadapi untuk mempertahankan kejuaraan ini,” jelasnya yang Aira menjuarai kategori sama pada 2022 di Thailand.

Malaysia mendominasi had umur sama apabila Joachim Chuah mengatasi Harith Danial Jefri dalam pertarungan sengit lima set.

Pilihan utama itu menebus kehampaan bergelar naib juara tahun lalu menerusi keputusan 11-9, 7-11, 10-13, 11-6 dan 13-11.

Low Wa Sern menambah kegembiraan Malaysia apabila menjuarai B-17 lelaki (L) ketika menentang Na Joo Young di perlawanan akhir.

Permainan berlanjutan ke empat set sebelum catatan 11-6, 11-9, 5-11 dan 13-11 meranapkan cabaran wakil Korea Selatan itu.

Jayden Oon pula muncul pemenang kategori B-15 (L) dengan menumpaskan pemain Jepun di penentuan juara.

Atlet muda itu pada mulanya kecundang 4-11 kepada Shunsaku Kariyazono namun memperaga kebangkitan bergaya menerusi catatan 11-4, 11-5 dan 11-5.

Cubaan Malaysia menyapu bersih kesemua pertarungan ditandingi di Dalian hari ini tidak kesampaian gara-gara kekalahan di saingan B-15 perempuan (P) kepada Hong Kong.

Harleein Tan memberikan segala-galanya apabila mengharungi permainan dramatik lima set, tetapi tidak bernasib baik di tangan Helen Tang 9-11, 11-7, 12-10, 6-11 dan 11-13.

Pingat emas dan perak acara B-13 P menjadi milik negara hasil kejayaan Jinoreeka Ning Manivannan mengalahkan Niea Chew 11-6, 9-11, 11-6 dan 16-14.

Keseluruhannya, pencapaian anak didik Shahril Shahidan kali ini amat memukau, memperbaiki catatan empat pingat emas dan enam perak yang dibawa pulang edisi sebelum ini.

“Ramai pemain luar negara memuji pemain kita yang bermain dengan penuh semangat tanpa mudah mengalah. Walaupun mereka hampir kalah, tetapi pemain kita tetap bermain bermati-matian sehingga mata terakhir. Bagi saya masa depan
pemain negara kita di landasan yang tepat,” jelas Shahril.

Loading...
Terkini