MELBOURNE: Cubaan Aira Azman melakar satu lagi sejarah baru dalam arena skuasy tidak berhasil, apabila terpaksa akur dengan gelaran pingat perak Kejuaraan Dunia Remaja 2023.
Pemain berusia 19 tahun itu yang membawa impian mengulangi pencapaian Datuk Nicol Ann David bergelar juara dunia pada 1999 dan 2001 itu tewas 0-3 di tangan pilihan utama Mesir, Amina Orfi.
“Perlawanan hari ini sangat sukar. Saya rasa Amina sangat mantap menerusi permainan bertenaganya. Ada sedikit kekecewaan apabila tewas namun diharapkan ia akan menjadi lebih baik selepas ini,” luah Aira selepas perlawanan.
Atlet berasal dari Kedah itu berusaha memberikan saingan sebaik perlawanan bermula, namun lawan terlebih dahulu sampai ke mata kemenangan menerusi catatan 11-8.
Orfi semakin yakin dalam set kedua dan seterusnya, menyebabkan pemain negara itu kian tenggelam menerusi kekalahan 5-11 disusuli 1-11.
Keputusan tersebut bagaimanapun tetap menghadirkan sinar baharu skuasy wanita tanah air selepas sekian lama.
“Saya dapat rasakan peningkatan tahun ini daripada sebelumnya. Mungkin tidak dapat kejuaraan tetapi masih gembira menjadi yang pertama mara ke perlawanan akhir selepas Datuk Nicol 22 tahun yang lalu,” tambah Aira lagi.
Berakhirnya saingan invidu hari ini di Melbourne Sports and Aquatic Centres (MSAC), Aira dan kem negara dijadual turun semula dalam kategori berpasukan semula dari esok hingga 29 Julai.