![](https://media.buletintv3.my/2022/12/pp-cms-66.jpg)
Oleh Hasnida Hanim Ahmad Kamil
MESIR: Pasukan skuasy wanita negara meraih pencapaian diluar jangkaan apabila menamatkan cabaran pada Kejohanan Berpasukan Wanita Dunia di Mesir dengan menduduki tempat ketiga.
Meskipun tanpa tonggak yang juga pemain nombor satu kebangsaan, S Sivasangari, gandingan Aifa Azman, Rachel Arnold, Chan Yiwen dan Yee Xin Ying berjaya memperagakan prestasi untuk melangkah ke separuh akhir sekali gus meraih gangsa.
Lebih manis, pentas separuh akhir ini adalah yang pertama kali buat pasukan negara selepas kali terakhir berada di peringkat empat terbaik pada 2014, sekali gus memperbaiki pencapaian berada di tempat keenam pada 2018.
“Mara ke separuh akhir adalah satu pencapaian besar memandangkan sasaran kami adalah berada dalam kelompok lima terbaik,” kata Pengarah Kejurulatihan Persatuan Skuasy Malaysia (SRAM), Major (B) S Maniam dalam satu kenyataan.
“Kami menamatkan saingan di tempat keenam empat tahun lalu. Kejohanan 2020 dibatalkan kerana COVID-19. Jadi, ini adalah satu peningkatan yang baik buat kami. Menjadikan keputusan ini lebih manis, kami memperoleh keputusan lebih baik daripada Hong Kong kali ini yang meraih gangsa pada 2018.
“Walaupun kami tewas di separuh akhir, pasukan sudah memberikan tentangan sengit ketika menentang Mesir dan ini satu petanda baik. Dengan pasukan meraih gangsa, ini tentunya memberikan suntikan semangat buat mereka.
“Saya positif mereka akan lebih baik pada tahun depan.”
Malaysia berkongsi pingat gangsa bersama England manakala tuan rumah, Mesir mempertahankan gelaran juara selepas menewaskan Amerika Syarikat.
Pada peringkat Kumpulan D, skuad negara memulakan kempen dengan langkah kanan apabila menewaskan Taiwan 3-0, sebelum meraih kemenangan ke atas Finland dengan keputusan sama.
Mereka seterusnya menempah tiket ke suku akhir apabila menewaskan Jepun 2-1 sebelum tewas 1-2 di tangan Perancis pada perlawanan akhir peringkat kumpulan untuk berada di tempat kedua kumpulan.
Di suku akhir, Malaysia berjaya menewaskan Hong Kong 3-0 sekali gus mengubat luka kekecewaan tewas di tangan lawan berkenaan di Kejohanan Berpasukan Asia, November lalu.
Mereka selepas itu tewas di tangan Mesir 2-0 namun pencapaian diraih ini dilihat mampu memberikan semangat untuk pasukan terus memburu gelaran yang lebih baik pada musim depan.