Tumpuan :
Sukan

SKUASY: Malaysia dominasi perlawanan separuh akhir, sembilan wakil mara ke penentuan juara

Pingat emas kategori B-19 (L) sah menjadi milik Malaysia apabila pilihan pertama kategori Joachim (gambar) akan menentang Harith Danial.

DALIAN: Tiga pingat emas dalam genggaman pasukan skuasy negara di Kejuaraan Asia Remaja Individu yang berlangsung di China.

Enam daripadanya bakal bertembung sesama sendiri di perlawanan akhir esok selepas menewaskan lawan masing-masing ditambah tiga lagi wakil negara yang turut ceria melepasi halangan separuh akhir.

Juara edisi 2022 Aira menempah perlawanan akhir kedua berturut-turut selepas memadam cabaran wakil India di separuh akhir hari ini.

Dalam kategori utama perempuan bawah 19 tahun (B-19), Aira Azman membuktikan kelasnya tersendiri apabila menyingkirkan cabaran pemain India, Pooja Arthi dengan keputusan 11-5, 11-6, 11-3.

Turut sama melangkah ke perlawanan kemuncak buat kali pertama adalah rakan senegara, Sehveetrraa Kumar yang berjaya menyingkirkan pemain Hong Kong, Tobby Tse, 11-3, 11-4, 11-9 sekaligus memastikan pingat emas dan perak milik Malaysia apabila menemukan kedua-duanya di penentuan juara.

Barisan pemain lelaki juga turut cemerlang, apabila Joachim Chuah menepati ramalan menumbangkan lawan Shaurya Bawal dari India semalam, dengan menantinya ialah Harith Danial Jefri yang menyingkirkan wakil Korea Selatan, Oh Seo Jin 9-11, 11-8, 11-4, 11-9 di fasa separuh akhir.

Low Wa Sern pula membuat kejutan kategori B-17 lelaki dengan menumbangkan Abdullah Nawas dari Pakistan 11-3, 6-11, 11-6, 11-13, 11-7 sekaligus menempah pertemuan akhir dengan Na Joo Young dari Korea Selatan.

Kem negara ceria menyaksikan dua wakil mara ke saingan B-15 lelaki dan wanita selepas hasil kejutan 13-11, 4-11, 11-9, 4-11, 11-6 Jayden Oon ke atas jaguh India Aryaveer Dewan.

Pemain perempuan Harleein Tan pula mengatasi Lau Wai Tung dari Hong Kong 11-3, 11-8, 11-7.

Jinoreeka Ning Manivannan dan Niea Chew melengkapkan tiga pungutan emas dan perak di hari terkahir esok menerusi kategori B-13 perempuan.

Jinoreeka menewaskan wakil Hong Kong, Li Ka Man 11-4, 11-2, 12-10 sementara Niea mengalahkan pemain Singapura, Kayla Choy dengan keputusan 11-8, 11-8, 11-4.

Loading...
Terkini