![](https://media.buletintv3.my/2023/10/7Bc6Ljw7-BULETIN-TV3-19.jpg)
PETALING JAYA: Hasrat untuk menyaksikan sukan skuasy dipertandingkan di Sukan Olimpik akhirnya menjadi kenyataan.
Menerusi perkongsian di laman sosial Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa, IOC hari ini, lembaga eksekutif badan induk itu turut meluluskan empat sukan tambahan yang dicadangkan oleh Jawatankuasa Penganjur pada Sukan Olimpik Los Angeles 2028.
Sukan terbabit ialah kriket, besbol, sofbol, lacrosse dan flag football.
Daripada lima sukan tersebut, tiga daripadanya tidak pernah dipertandingkan dalam program olimpik.
Ia sekaligus menyaksikan dua sukan tradisi Amerika Syarikat iaitu flag football dan lacrosse serta skuasy akan membuat penampilan sulung pada temasya olimpik.
Di Sukan Olimpik 2028 itu nanti, skuasy menawarkan dua pingat emas, perseorangan lelaki dan wanita.
Antara yang paling teruja dengan perkhabaran ini pastinya Pengarah Kejurulatih Persatuan Raket dan Skuasy Malaysia, Mejar (B) S Maniam.
“Mewakili persatuan, kami amat gembira di atas pemilihan skuasy ke Sukan Olimpik 2028, ini sesuatu yang sudah lama kita tunggu”, katanya ketika dihubungi TV3.
Tambah Maniam, dua perseorangan negara yang meraih pingat emas Sukan Asia Hangzhou, Ng Eain Yow dan S Sivasangari akan berada di puncak prestasi dan mampu menghuni kelompok 10 pemain terbaik dunia menjelang Sukan Olimpik 2028.
SRAM juga optimis dengan kemampuan pasangan adik beradik Aifa dan Aira Azman serta perseorangan lelaki, Ameeshenraj Chandaran yang boleh disandarkan sebagai prospek pingat negara.
Ke arah merealisasikan impian memburu emas sulung Olimpik dan skuasy memiliki potensi itu, SRAM akan mengadakan perbincangan bersama Majlis Sukan Negara (MSN) dan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) mengenai perancangan untuk membentuk skuad mantap menghadapi Sukan Olimpik 2028.