MELBOURNE: Aira Azman menamatkan kemarau 22 tahun ketiadaan wakil negara di perlawanan akhir skuasy Kejuaraan Dunia wanita apabila memenangi pertembungan separuh akhir hari ini.
Pemain berusia 19 tahun itu menewaskan Fayrouz Aboelkheir dari Mesir menerusi kemenangan brgaya 3-0 di Melbourne Sports and Aquatic Centres (MSAC) sekaligus menyamai pencapaian dilakar Datuk Nicol Ann David yang mara ke aksi penentuan juara pada edisi 1999 dan 2001.
“Ia amat bererti kepada saya lebih-lebih lagi ini ialah tahun terakhir saya di saingan remaja yang sudah disertai sejak 2018 lagi. Ini kali keempat dan terakhir saya, jadi amat bersyukur berjaya ke perlawanan akhir,” luah Aira selepas perlawanan.
Aira yang turun selaku pemain pilihan ketiga di Melbourne beraksi sangat baik pada permainan pembukaan membolehkannya menjinakkan Aboelkheir 12-10.
Lawan yang diletakkan sebagai pilihan kedua itu seakan tertekan menyebabkannya tidak mampu mengatasi Aira dalam set berikutnya.
Wakil negara itu menutup ruang kebangkitan Aboelkheir menerusi keputusan 11-7 dan 11-8 menerusi dua permainan sekaligus mengesahkan slot ke penentuan juara esok.
“Ya saya bermain agak baik hari ni, jadi amat bangga dengan kejayaan ini,” tambah anak kelahiran Kedah itu.
Lebih penting lagi, Aira menebus semula kekalahan kepada lawan sama pada Piala Dunia di India bulan lalu, menyaksikannya kecundang 1-3.
Satu lagi tempat di perlawanan akhir bakal diisi juga dari Mesir diantara pilihan pertama Amina Orfi atau Malak Khafagy yang dijadual bertembung di aksi kedua separuh akhir.